Bapa mengaku tidak bersalah cabul anak sendiri

Astro Awani
April 12, 2021 09:11 MYT
Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 13 tahun ketika kejadian. - Foto ihsan PDRM
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak gadisnya, tahun lalu.
Pengakuan itu dibuat tertuduh yang berusia 43 tahun selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu Nooriah Osman.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 13 tahun ketika kejadian.
Perbuatan itu dilakukan pada Disember lalu di sebuah rumah di Marang antara jam 8 pagi hingga 6.30 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKKSTKK 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Manakala mengikut pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama di alamat dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) AKKSTKK 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud.
#amang seksual #anak gadis #Marang #Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu