Bapa maut selepas selamatkan anak dari rentung

Nur Fazlizai Ali
Januari 11, 2018 13:36 MYT
Keadaan tingkat bawah rumah mangsa yang dilaporkan hangus dijilat api. - Gambar Astro AWANI
Tindakan seorang bapa menyelamatkan anaknya dari rentung dalam kejadian kebakaran rumah mereka di Kampung Kuala Ibai berakhir tragedi apabila mangsa dilaporkan sesak nafas lalu meninggal dunia.
Lebih menyayat hati, mangsa, Ahmad Fakhrurazi Shafie, 45 tahun yang juga Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kuala Ibai ketika ditemui anak saudaranya dalam keadaan berpelukan dengan anaknya berusia tiga tahun di halaman rumah dua tingkat tersebut.
Bagaimanapun, anak mangsa, Muhammad Aqil Harith dilaporkan selamat dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi ini.
Menurut anak saudara mangsa, Ahmad Syahir Azizi Ahmad Zulfa berkata, ketika kejadian dia terdengar bunyi letupan lalu bergegas keluar rumah sebelum terlihat api marak dari rumah mangsa.
Katanya, dia bergegas ke rumah mangsa sambal menghubungi pasukan penyelamat.
“Selepas terdengar bunyi cermin tingkap pecah, saya ternampak asap keluar banyak. Apabila pergi ke rumah itu, saya dapati mangsa memeluk anaknya di halaman rumah dalam keadaan tidak bermaya.
“Alhamdulillah anak mangsa berusia tiga tahun memberikan respon sebaliknya mangsa tidak memberi maklum balas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azlimin Mat Noor berkata, sebaik sahaja tiba api sedang marak.
Katanya seramai 18 kekuatan bersama dua jentera di kejarkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa telah dibawa keluar oleh keluarga dalam keadaan lemah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.
“Kita mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengawal kebakaran dari merebak manakala punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
#anak #Azlimin Mat Noor #bapa #Kuala Ibai #Kuala Terengganu #maut #meninggal dunia #rentung #sesak nafas #Timbalan Ketua UMNO Cawangan
;