Bapa maut dipukul anak dengan botol kaca selepas bertengkar
Aida Aziz
September 12, 2020 23:38 MYT
September 12, 2020 23:38 MYT
Seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun maut dibunuh oleh anak lelakinya yang mengalami penyakit mental di kediaman mereka di Kampung Rapat berdekatan Pasar Gunung Rapat, Ipoh pada Sabtu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt. Mohamad Nordin Abdullah, mangsa yang dikenali sebagai Pang Ket Tai dikatakan bertengkar dengan suspek yang berusia 49 tahun di dalam rumah, sebelum suspek disyaki bertindak mencederakan mangsa menggunakan botol kaca.
“Setakat ni tiada rekod cuma dia ada rawatan mental, memang selalu dia buat rawatan… dah dua puluh tahun dah dia mengalami penyakit mental.
“Kita syaki dia gunakan botol untuk mencederakan mangsa, ada kecederaan di kepala, muka dan leher.
“Memang pihak polis yang buat laporan polis, dapat makluman dan kita datang buat siasatan di tempat tu dan dia (suspek) berada di sisi bapa dia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Sabtu.
Katanya lagi, hasil siasatan mendapati selama ini suspek membantu bapanya berniaga di kedai runcit di Pasar Gunung Rapat.
Ujarnya, polis masih menyiasat punca berlakunya kejadian bunuh tersebut dan suspek sudah ditangkap oleh pihak polis.
Proses bedah siasat mangsa akan dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh esok bagi mengenal pasti punca kematian.
Mohamad Nordin berkata, suspek tidak mempunyai jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#anak bunuh bapa
#botol kaca
#Kampung Rapat
#Ketua Polis Daerah Ipoh
#Pang Ket Tai
#Pasar Gunung Rapat
#penyakit mental
#warga emas