Bapa maut, anak parah kereta langgar treler

Bernama
Februari 15, 2015 17:21 MYT
Polis berkata kejadian berlaku disebabkan kegagalan mangsa yang membawa Perodua Myvi gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar belakang treler rosak di lorong kecemasan. - Foto BERNAMA
Seorang bapa maut manakala anak perempuannya cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan sebuah treler di Kilometer 263.3, Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, di sini pagi tadi.
Mangsa, K. Ganesan, 39, yang berasal dari Port Dickson disahkan mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala anaknya, G. Reshika, 7 tahun, yang mengalami cedera parah dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata kejadian dalam kejadian pada pukul 8.50 pagi itu, mangsa yang memandu kereta Perodua Myvi dari arah Seremban menghala ke Kuala Lumpur gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar belakang treler yang rosak di lorong kecemasan.
"Treler berkenaan berhenti di situ kerana mengalami kerosakan pada gegandar tayar. Difahamkan mangsa turut melanggar kon keselamatan yang diletakkan di lorong kecemasan itu," katanya, di sini hari ini.
Mayat mangsa di bawa ke HTJ untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Md Munawir Md Yusoff berkata tujuh anggota bersama sebuah jentera dan dua Unit Gerak Cepat (RIM) bergegas ke lokasi kejadian.
"Kami mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta berkenaan," katanya kepada Bernama.
#anak #bapa #cedera parah #G. Reshika #HTJ #K. Ganesan #kemalangan #kereta #maut #treler
;