Bapa maut, anak lelaki cedera dalam kebakaran

Azee Shafy
April 9, 2022 09:20 MYT
Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari kawasan dapur apabila anggaran kemusnahan sehingga 50 peratus berlaku di kawasan terbabit. -Gambar Ihsan JPBM.
KUANTAN: Tidak sampai 24 jam kejadian kebakaran di Pangsapuri Medan Warisan di Jalan Tanah Putih petang semalam, sebuah rumah di Kampung Padang Perdana di Jalan Sungai Lembing pula terbakar lewat malam tadi.
BACA: Warga emas maut terperangkap dalam kebakaran
Seorang bapa maut manakala anak lelakinya cedera selepas kediaman mereka terbakar kira-kira jam 11 malam dalam kejadian itu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dan melecur seluruh badan di dalam bilik air dalam keadaan terlentang.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian mengikut makluman awal oleh kakitangan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).
"Anak mangsa pula hanya mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan sementara dibawa ke hospital berdekatan," katanya.
Ismail berkata, berdasarkan siasatan awal, api dipercayai bermula dari kawasan dapur apabila anggaran kemusnahan sehingga 50 peratus berlaku di kawasan terbabit.
Katanya, beberapa barangan elektrik seperti peti ais dan mesin basuh terbakar termasuk kerosakan pada siling.
"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke hospital berdekatan untuk tindakan selanjutnya.
"Punca kebakaran masih dalam siasatan dan pihak forensik akan melakukan siasatan pada awal pagi esok (hari ini)," kata Ismail.
#kebakaran #Kampung Padang Perdana #Jalan Sungai Lembing #Ismail Abdul Ghani
;