Bapa maut, anak cedera treler dirempuh treler bawa besi
Nazialita Geynna Maharan
Februari 28, 2018 17:18 MYT
Februari 28, 2018 17:18 MYT
Perjalanan anak beranak menaiki sebuah treler membawa muatan besi panjang ke Kuala Lumpur berakhir tragedi apabila kenderaan mereka bertembung dengan sebuah lagi treler di Kilometer 315.6 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Selatan pada awal pagi Rabu.
Mangsa, T. Gopinath, 43, yang juga merupakan pemandu sebuah treler muatan besi panjang maut di tempat kejadian manakala anaknya, G. Selvan, 19 mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Asisten Komisioner Som Sak Din Keliaw berkata mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur bersama anaknya sebelum terlibat dalam kejadian itu.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah treler yang turut membawa muatan besi panjang menuju ke Kuala Lumpur cuba memotong treler yang dipandu mangsa di tempat kejadian sebelum hilang kawalan.
“Semasa cuba memotong, treler itu hilang kawalan dan menghimpit treler mangsa hingga lelaki itu terkena besi panjang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Som Sak berkata berikutan itu pemandu treler yang hilang kawalan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini ditahan bagi saringan air kencing dan siasatan lanjut.
“Mangsa yang berasal dari Kulim, Kedah telah dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kes disiasat sepenuhnya di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.
#G Selvan
#Ketua Polis Daerah Tapah
#Kuala Lumpur
#Lebuhraya Utara Selatan
#muatan besi panjang
#Som Sak Din Keliaw
#T Gopinath
#treler