Bapa mangsa lemas terjun sungai mahu cari anak tetapi gagal
Noraniza Kamsani
Januari 20, 2018 20:54 MYT
Januari 20, 2018 20:54 MYT
"Selepas tahu mengenai kejadian ini, saya terus bergegas ke tempat kejadian dan terjun ke dalam sungai untuk mencari Haikal namun gagal."
Demikian merupakan luahan Semar Usman, 46 tahun, bapa kepada Mohd Danish Haikal, 12 tahun, yang dikuatiri lemas selepas terjatuh di Sungai Belat, dekat Kampung Jaya Gading, Kuantan, petang ini.
Mangsa dipercayai terjatuh di sungai itu selepas berdiri pada sebatang kayu di sungai berkenaan ketika hendak mula memancing bersama dua lagi rakannya dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu.
Menurut Semar, anak keempat daripada lima beradik itu keluar dari rumah kira-kira jam 2 petang untuk memancing bersama dua rakan sebayanya seperti kebiasaan yang dilakukan mereka.
"Selepas solat Zohor saya ada memanggil anak kerana hujan tetapi panggilan berkenaan tidak dijawab, tetapi saya tidak mengesyaki sebarang perkara buruk berlaku.
"Tidak lama selepas itu, isteri saya (Nazira Mohd Yusof, 41,) yang berada di dewan orang ramai balik ke rumah dan memberitahu Haikal terjatuh dalam sungai, saya terus ke sungai yang terletak di belakang rumah untuk mencarinya.
"Saya terjun ke sungai untuk mencari Haikal namun gagal, rakan-rakannya memberitahu Haikal terjatuh ketika memijak sebatang kayu dan terjatuh ke sungai," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Semar berkata, anaknya cuba diselamatkan oleh seorang pemancing dewasa yang ada di situ namun gagal kerana tidak dapat mencapai tebing sungai.
"Walaupun Haikal sudah dapat memegangnya, lelaki itu juga kepenatanm selepas itu kelibat Haikal tidak lagi kelihatan," katanya.
Semar berkata, anak lelaki tunggalnya itu memang biasa memancing di sungai berkenaan bersama rakan-rakannya namun dia tidak pandai berenang.
"Saya berharap anak saya ditemui segera, saya berdoa kepada Allah supaya segala urusan pencariannya dipermudahkan. Saya reda dengan apa jua kemungkinan apabila dia ditemui, sekiranya ini adalah takdir yang sudah ditetapkan untuk Haikal," katanya.
Sementara itu, sehingga jam 7 malam tadi, Mohd Danish Haikal yang juga murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Gading, di sini, masih belum ditemui dan operasi mencari serta menyelamat dijalankan oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).