Bapa mangsa kebakaran KBC sebak lihat keadaan anak
Bernama
Julai 6, 2018 18:11 MYT
Julai 6, 2018 18:11 MYT
"Rasa sebok (sebak) tengok dia jadi gini, tangan berbalut sampai lengan," luah Muhammad Ali, 72, bapa kepada Rosli Muhammad, mangsa yang cedera parah dalam kebakaran kilang Kemaman Bitumen Company (KBC), Telok Kalong, Kemaman, semalam.
Nelayan berumur 72 tahun itu berkata beliau mendapat berita mengenai kejadian anak kelima daripada 15 beradik itu ketika baru pulang dari menangkap ikan pada 7 malam semalam.
"Saya tinggal dengan anak bongsu di Kuala Abang, Dungun. Dia (mangsa) duduk di Paka. Sebelum ini saya tak tahu dia kerja apa di Paka.
"Saya dapat berita dah malam. Masa itu baru balik dari laut... sampai di rumah orang beritahu ada kebakaran di Teluk Kalong.
"Tidak lama lepas itu anak saudara yang bekerja bersama dia beritahu Ayah Cik (panggilan kepada mangsa) terkena api (ketika bekerja)," katanya ketika ditemui pemberita di wad kebakaran, Hospital Sultanah Zahirah (HSZ), di sini hari ini.
Anak saudaranya, yang dikenali sebagai Syawal bagaimana pun tidak mengalami kecederaan dalam insiden berkenaan dan difahamkan beliau yang menyelamatkan bapa saudaranya dalam kebakaran itu.
Dalam kejadian pada 6.15 petang semalam, tiga daripada lima tangki minyak mentah di KBC terbakar menyebabkan mangsa cedera parah akibat melecur, manakala tiga lagi rakannya cedera ringan.
Mangsa yang pada mulanya mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman kemudian dibawa ke HSNZ untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu Muhammad berkata beliau difahamkan mangsa bekerja di bahagian paling atas tangki minyak yang terbakar, menyebabkan dia melecur teruk.
"Sedih melihat dia dalam keadaan begini. Kali terakhir berjumpa pada Hari Raya Aidilfitri lalu...dia masih sihat. Saya harap kalau boleh bila dia sihat nanti carilah kerja lain," katanya.
-- BERNAMA
#cedera
#HSNZ
#KBC
#kebakaran
#Kemaman Bitumen Company
#mangsa
#melecur
#Muhammad Ali
#Rosli Muhammad
#sebak
#tangki minyak
#telok kalong