Bapa mabuk tunjuk kemaluan, pijak kepala anak ditahan

Sinar Harian
Mac 6, 2024 18:26 MYT
Suspek telah ditahan kira-kira jam 1.40 pagi pada 26 Februari lalu. - Gambar hiasan
MELAKA: Seorang bapa bukan sahaja memijak, memukul dan menendang anak perempuannya malah turut menunjukkan kemaluannya dalam kejadian pada minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, kejadian pada 26 Februari lalu dipercayai berlaku apabila isterinya menolak pelawaan suspek yang juga penganggur berusia 40 tahun untuk makan malam selepas pulang ke rumah dalam keadaan mabuk kira-kira jam 10 malam.
Menurutnya, suspek kemudian memarahi isterinya yang merupakan peniaga nasi lemak sebelum menendang mangsa berusia 40 tahun itu.
"Pengadu terus lari ke bilik tiga anak perempuannya berusia 12, 14 dan 16 tahun dan suspek bertindak melondehkan seluar dan terus menunjukkan kemaluannya kepada tiga anak perempuannya.
"Selain memukul anaknya berusia 16 tahun, suspek juga memijak kepala anaknya berusia 12 dan 14 tahun," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Rabu.
Tambahnya, wanita itu cuba menghalang perbuatan suspek, namun tidak berjaya sebelum melarikan diri ke rumah ibu mentuanya yang terletak di kawasan berhampiran.
"Selepas insiden itu pengadu dan anak-anaknya membuat laporan polis dan suspek telah ditahan kira-kira jam 1.40 pagi pada hari sama.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan suspek yang sedang direman akan dituduh di mahkamah pada Khamis," katanya lagi. - Sinar Harian
#Bapa durjana #pukul anak perempuan #tunjuk kemaluan #Melaka
;