Bapa longlai lihat mayat anak tersepit lif
Bernama
Julai 4, 2017 06:24 MYT
Julai 4, 2017 06:24 MYT
Seorang bapa longlai selepas melihat mayat anak sulungnya tersepit pada lif mengangkat barang ketika sedang bekerja di sebuah kedai perkakas di Jalan Pekan Pendang, Pendang, pada Selasa.
Muhammad Zairul Naim Zaini, 16, dari Kampung Paya Palas, Pendang, maut selepas ditemukan tersepit pada jurang antara lif barang dan siling di bangunan kedai dua tingkat itu pada 3 petang.
Bapa mangsa, Zaini Saad, 45, berkata dia mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan oleh seorang rakan kerja anaknya yang datang ke rumahnya di Kampung Paya, Kuala Rimau, di sini.
"Saya ada di rumah dan dalam 3.30 petang, rakan sekerja anak datang beritahu yang anak saya kemalangan, jadi saya terus bergegas ke tempat kerjanya sebelum masuk untuk melihat mayat anak. Saya terus longlai dan sedih melihat keadaan anak ketika itu.
"Saya terus keluar dari kedai bagi membolehkan pihak bomba mengeluarkan mayat anak sebelum menaiki jip polis ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini, pada Selasa.
Zaini berkata anak sulungnya itu baru saja bekerja di kedai terbabit sejak empat bulan lalu bagi membantu keluarga dan tiga adiknya selepas berhenti kerja di sebuah kedai makan di Kuala Lumpur.
"Dia mula bekerja sejak berumur 15 tahun dan seorang yang sangat berdikari. Bila dia minta saya carikan tempat kerja di kampung, saya bantu carikan...saya ingat tiada masalah kerana bekerja di dalam kedai tetapi ini semua sudah takdir.
"Saya reda manakala isteri, Chik Saad, 40, berada di rumah kerana masih dalam keadaan sedih," katanya.
Zaini berkata mayat anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kuala Rimau, Pendang selepas proses bedah siasat selesai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang DSP Fadzil Hashim ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian. - BERNAMA