Bapa Kapten Hasman redha, syukur jasad ditemui
Harits Asyraf Hasnan
Disember 30, 2015 22:19 MYT
Disember 30, 2015 22:19 MYT
Bapa Allahyarham Kapten Hasman Hussin menerima dengan redha ketentuan Allah kehilangan anaknya itu semasa dalam tugas.
Namun apa yang tidak disangka Hussin Mat, 60, anak ketiganya itu pergi meninggalkannya terlebih dahulu.
Walaupun mengakui sedih menerima berita tersebut, Hussin yang juga merupakan bekas anggota tentera bersyukur kerana jenazah anaknya dapat ditemui.
"Biasalah...memang...siapa yang tak sayangkan anak. Pakcik percaya Qada' dan Qadar dan Tuhan lebih sayangkan dia lagi.
"Hendak buat macam mana kan…kehilangan dia ini akhirnya jumpa juga, pak cik bersyukur lah," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini hari ini.
Menyifatkan anaknya sebagai seorang yang tegas, Hussin berkata, Allahyarham merupakan seorang insan yang berhati mulia.
Sebelum itu, berita penemuan jenazah Allahyarham Kapten Hasman dimaklumkan Panglima Markas 3 Divisyen Kem Terendak, Mejar General Datuk Wira Zamrose Mohd Zain yang mengunjungi keluarga Allahyarham di Masjid Tanah, pada pagi tadi.
Allahyarham berada di Amerika Syarikat bagi mengikuti Kursus Kerjaya Kapten Jurutera bermula 1 Oktober dan dijadualkan berakhir 15 April 2016.
Sementara itu, Mohd Husaimi Hussin, abang sulung kepada Allahyarham tidak menyangka, perancangan saat akhir adiknya itu untuk keluar bercuti, Sabtu lalu bertukar menjadi tragedi.
"Dia kata dia nak belajar masa tu tapi mungkin perancangan akhir kawan rumah dia ajak...dah nak dijadikan sebab.
"Kami redha la dengan apa yang terjadi sebab ini semua qada dan qadar dari ketentuan Allah...kami redha," katanya.
Menurut Mohd Husaimi, semua urusan membawa pulang jenazah akan diuruskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di mana jenazah dijangka tiba di tanah air dalam masa dua atau tiga hari lagi.
Dalam pada itu, Mohd Husaimi mengakui sebak lebih-lebih lagi mengenang nasib isteri Allahyarham, Hazwani Ahmad, 29 tahun yang kini berada di Felda Palong Negeri Sembilan bersama tiga anaknya.
Anak sulung pasangan itu berusia tiga tahun sementara anak kedua dan ketiga merupakan sepasang kembar yang baharu berusia tiga bulan.