Bapa kandung, ibu tiri mengaku bersalah dera anak enam tahun
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 15, 2024 12:30 MYT
Oktober 15, 2024 12:30 MYT
TAIPING: Seorang bapa kandung dan ibu tiri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping pada Selasa atas pertuduhan mendera anak lelaki mereka yang berusia enam tahun, sejak Februari lalu.
Tertuduh, Abd Razak Harun, 48, dan Syarifah Mat Yusof, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama sebagai ibu bapa telah mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Taman Permai Ladang Kalumpang, Bagan Serai pada bulan Februari 2024 hingga 10 Oktober 2024.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Yan Ni tidak menawarkan sebarang jaminan kerana dibimbangi kedua-dua tertuduh akan mengganggu mangsa kerana mereka tinggal serumah.
Namun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Varpal Singh Sago yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap seorang.
Menurutnya, tertuduh pertama bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan bulanan RM2,200 serta menanggung empat orang anak manakala tertuduh kedua, seorang suri rumah, menghidapi penyakit kemurungan dan masih mengambil ubat serta mendapat rawatan psikiatrik di Hospital Parit Buntar.
Mahkamah kemudian memutuskan tiada jaminan untuk tertuduh pertama manakala tertuduh kedua dirujuk ke psikiatrik bagi pemeriksaan kesihatan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah untuk mengesahkan tahap kewarasan dan laporan kesihatan.
Mahkamah turut menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada Sabtu, media melaporkan polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes dera seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Ladang Kalumpang, Bagan Serai.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, suspek lelaki berumur 48 tahun adalah bapa kandung mangsa manakala isterinya yang berumur 33 tahun adalah ibu tiri mangsa.
Menurutnya, kedua-dua mereka ditahan dalam serbuan yang dilakukan pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, kira-kira jam 5.30 petang, Khamis lalu.
Terdahulu, katanya, polis menerima satu laporan penderaan ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, kira-kira jam 4.09 petang, hari yang sama.