Bapa kanak-kanak maut disengat tebuan mahu ambil tindakan
Sinar Harian
Jun 28, 2022 06:15 MYT
Jun 28, 2022 06:15 MYT
KUALA NERUS: Bapa kepada kanak-kanak yang maut disengat tebuan di Kampung Tok Jembal, di sini pada Ahad akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab menyebabkan kawasan taman permainan di lokasi kejadian menjadi sarang pembiakan serangga berbisa itu.
Mohd Khalid Omar, 40, berkata, tindakan itu akan dibuat bagi memberi pengajaran supaya semua pihak lebih bertanggungjawab dan kejadian menimpa anaknya tidak berulang.
Katanya, longgokan peralatan pembinaan iaitu pelampung dan besi jeti yang ditinggalkan di padang permainan itu sejak empat tahun menjadi tempat serangga itu bersarang.
"Saya dan keluarga terfikir untuk ambil tindakan kerana tidak sepatutnya benda tu ada di kawasan permainan kanak-kanak dan ditinggalkan sejak sekian lama di situ.
"Tindakan ini perlu diambil supaya semua orang prihatin mengenai keselamatan kawasan permainan kanak-kanak dan sentiasa menyelenggaranya dengan baik," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.
Menurut Mohd Khalid, setakat ini pihak bomba telah bertindak memusnahkan sarang tebuan itu bagi memastikan ia tidak mengancam penduduk setempat.
Namun dia agak kesal kerana belum ada tindakan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membersihkan longgokan barangan yang ditinggalkan.
"Pihak bomba bertindak proaktif dengan memusnahkan sarang tebuan tanah itu, namun, saya agak kesal kerana setakat ini belum ada sebarang tindakan diambil oleh PBT," katanya.
Mengulas perkembangan dua lagi anaknya yang masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Mohd Khalid berkata, keduanya masih belum pulih sepenuhya.
"Kedua-duanya masih dirawat dan dalam pemerhatian rapi pihak hospital namun dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya.
Sementara itu, saksi kejadian, Yahya Abdullah, 70, berkata, ketika kejadian dia melihat tiga adik beradik itu diserang serangga berbisa namun tidak dapat berbuat apa-apa.
"Waktu kejadian puluhan ekor tebuan menyerang dan menyengat ketiga-tiga mereka termasuk Mohd Khalid yang beberapa kali rebah ketika menyelamatkan anaknya.
"Saya terkejut melihat kejadian itu kerana ia pertama kali berlaku di depan mata," katanya.
Menurut Yahya, sebelum ini dia ada mendengar beberapa kanak-kanak tadika berhampiran turut disengat tebuan namun tidak dipastikan dari mana datangnya tebuan itu.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut akibat disengat tebuan ketika bermain bersama dua kakaknya di taman permainan berhampiran rumah datuknya di Kampung Tok Jembal, di sini, pada Ahad.
Eidrish Mohd Khalid yang disengat kira-kira 60 ekor tebuan disahkan meninggal dunia pada jam 11.20 malam di HSNZ.
Dua kakaknya, Nur Adelia Qaisara,10, dan Nur Aiyris Dania, 7, yang turut disengat haiwan berbisa itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ. -Sinar Harian