Bapa kanak-kanak 11 tahun pandu kereta di Sibu disaman

Bernama
Jun 6, 2024 00:40 MYT
ACP Zulkipli berkata, kanak-kanak itu dan ibu bapanya dibawa ke Pejabat Trafik Polis Sibu untuk siasatan. - Gambar hiasan
SIBU: Bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang memandu sebuah kenderaan secara bersendirian di bandar ini telah dikenakan tindakan saman oleh polis.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata tindakan saman di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu dibuat setelah kanak-kanak berkenaan berjaya dikesan kira-kira 6.50 petang semalam.
Beliau berkata kanak-kanak itu dan ibu bapanya dibawa ke Pejabat Trafik Polis Sibu untuk siasatan.
"Hasil siasatan mendapati pemandu kereta tersebut iaitu kanak-kanak lelaki berkenaan menghidap autisme dan mempunyai rekod perubatan di Klinik Pakar Psikiatri Hospital Sibu," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya polis mendapat maklumat berhubung video berdurasi 30 saat yang tular di laman sosial kira-kira 3 petang semalam, menunjukkan kanak-kanak berkenaan memandu kereta secara bersendirian di Jalan Kampung Nyabor di sini.
-- BERNAMA
#saman #Sibu #kanak-kanak 11 tahun pandu kereta