Bapa hilang selepas keluar rumah

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 1, 2024 10:30 MYT
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi balai polis terdekat.
MELAKA TENGAH: Seorang wanita merayu orang ramai untuk membantu mencari bapanya yang hilang selepas keluar dari rumahnya di Bukit Katil di sini, sejak awal pagi semalam.
Wanita yang hanya mahu dikenali Farah berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jirannya, bapanya Suriatuddin Maliki, 68, yang juga pesara kerajaan, dilihat keluar rumah kira-kira pukul 5.50 pagi Isnin.
“Biasanya ayah akan keluar rumah selepas solat Subuh untuk 'berjogging' dan akan pulang semula 30 minit selepas itu dan kalau diikutkan pagi semalam juga, ayah ada janji temu doktor untuk ambil ubat sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
“Ada maklumat daripada orang ramai yang mengatakan ayah juga ada meminta bantuan peniaga di situ menempah perkhidmatan e–hailing untuk ke Melaka Sentral kerana mahu ke Kluang, Johor,” katanya ketika dihubungi di sini.
Mengulas lanjut anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, terdapat juga rakaman CCTV terakhir sekitar pukul 8 hingga 8.20 pagi daripada kedai berhampiran yang terlihat ayah membawa beg silang berwarna hitam, memakai baru-T warna biru dan seluar hitam.
“Kalau betul ayah naik bas ke Kluang, saya pelik kerana sudah 10 tahun kami tidak pulang ke kampung di Kluang itu setelah datuk meninggal dunia, malah tiada lagi saudara mara kami pulang ke sana.
“Saya juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Tiang Dua semalam kerana kami bimbang akan keselamatannya lebih-lebih lagi ayah pernah diserang strok menyebabkan pertuturannya sukar difahami selain kadang kala mempunyai masalah ingatan dan pendengaran,” katanya.
Tambah Farah, ketika keluar rumah, ayahnya ada membawa sedikit wang tunai, kad ATM dan telefon bimbit namun tidak mempunyai sim kad menyebabkan pihak polis tidak dapat mengesan kedudukannya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi balai polis terdekat atau saya di nombor 017-8870104 atau kakak, 017-3795024,”tambahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan Orang Hilang (OH) berkenaan.
#bapa hilang #Suriatuddin Maliki #terkini #keluar rumah
;