Bapa hilang selepas cuba selamatkan anak lemas ketika memancing

Ruzaini Zulkepli
Ogos 25, 2019 20:00 MYT
Mangsa yang ditemui lemas dikenali sebagai Izam Jahar manakala bapanya Jahar Asri masih belum ditemukan. -Foto Astro AWANI
Aktiviti dua beranak yang keluar memancing di hujung minggu bertukar mimpi ngeri apabila seorang daripada mereka ditemukan mati lemas dalam kejadian di perairan Kampung Kekapor, Kuala Penyu, pada Ahad.
Dalam penemuan kira-kira 12.50 tengah, mangsa yang ditemui lemas dikenali sebagai Izam Jahar, 20, manakala bapanya, Jahar Asri, 50, masih dilaporkan hilang.
Seorang lagi mangsa yang juga menaiki bot pancing sama, Rosman Emang, 40, ditemukan selamat.
Kedua-dua mangsa dijumpai penduduk kampung berhampiran.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sabah, Kepten (M) Asmawati Tujeri dalam kenyataan medianya berkata lokasi kejadian berlaku adalah di 15 Batu Nautika Timur Laut Labuan.
"Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Labuan telah menerima panggilan MERS 999 dari seorang pengadu yang menyatakan seorang pemancing telah hilang di posisi 15 Batu Nautika Timur Laut Labuan.
"Mangsa dikatakan hilang selepas terjun ke laut untuk menyelamatkan anaknya yang terjatuh dari bot akibat dipukul ombak besar.
"Waktu kejadian berlaku lebih kurang dalam jam 8.30 pagi tadi," katanya.
Mengulas lanjut, operasi pada hari ini terpaksa ditangguhkan dan akan disambung semula pada pagi Isnin.
Mayat mangsa yang meninggal dunia sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
#dua beranak lemas #Izam Jahar #Jahar Asri #Kampung Kekapor #kuala penyu #Rosman Emang
;