Bapa hilang ditemui terapung di sungai

Shuhada Abdul Kadir
November 7, 2020 10:06 MYT
Mayat warga emas berusia 71 tahun yang ditemui terapung dalam sungai oleh orang awam itu dibawa naik dengan bantuan pasukan bomba. - Astro AWANI
BANDARAYA MELAKA: Tanda tanya seorang anak mengenai kehilangan bapanya sejak Selasa lalu akhirnya terjawab apabila mayat warga emas itu ditemui terapung di dalam sungai di Taman Seri Duyong Melaka petang semalam.
Mayat warga emas berusia 71 tahun itu ditemui dalam keadaan telangkup dan tidak berpakaian oleh orang awam yang kemudian membuat laporan polis kira-kira jam 5 petang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad berkata, sepasukan polis telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum mayat mangsa dibawa naik kira-kira sejam kemudian dengan bantuan pasukan bomba.
Menurutnya, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menjalankan siasatan awal dan mengesahkan tiada kecederaan fizikal yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.
Pemeriksaan di lokasi kemudian turut menemui pakaian dan sepasang kasut milik mangsa yang disahkan oleh anak mangsa, katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, hasil semakan lanjut status mangsa mendapati anak mangsa ada membuat laporan polis mengenai kehilangan warga emas itu pada 4 November lalu.
Katanya, anak mangsa telah membuat laporan pada Rabu jam 9 malam di Balai Polis Tiang Dua, memaklumkan mengenai kehilangan si mati yang tidak pulang ke rumah sejak jam 9 malam pada Selasa.
Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
#bapa #warga emas #hilang #mayat #terapung #Taman Seri Duyong Melaka #polis #Ketua Polis Daerah Melaka Tengah #Afzanizar Ahmad
;