Bapa harap Naufal Amsyar kembali pulih
Astro Awani
Julai 20, 2018 18:58 MYT
Julai 20, 2018 18:58 MYT
“Saya harap dia kembali pulih dan membesar seperti kanak-kanak normal yang lain,”.
Demikian harapan Nabil Fikri Anwar, 28, bapa kepada bayi malang Naufal Amsyar yang parah di kepala dipercayai akibat terjatuh dari buaian di rumah pengasuhnya di Tangkak, Johor Selasa lalu.
Nabil Fikri juga memaklumkan kondisi anaknya masih sama dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan selain dipantau rapi di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, Johor.
Menurutnya, tiada tanda-tanda positif ke atas anak kesayangannya itu setakat ini.
“Saya dan isteri Noraziqah Rohmat, 23 tahun berharap dapat mengetahui kejadian sebenar dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Selasa lalu, bayi malang terbabit dimasukkan ke HPSF setelah dirujuk dari Hospital Tangkak apabila terdapat kesan lebam di dahi kiri, pendarahan mata selain retak tempurung kepala yang serius.
Naufal Amsyar dipercayai terjatuh dari buaian sebanyak dua kali sebelum ini ketika berada di rumah pengasuh di Taman Sialang, Tangkak.
Ekoran itu, seorang wanita berusia 35 tahun yang juga pengasuh bayi terbabit kini direman polis selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001.
#bayi
#bayi malang
#Hospital
#Kanak-kanak
#kepala
#Muar
#Nabil Fikri Anwar
#Naufal Amsyar
#polis
#siasatan
#Taman Sialang
#Tangkak