Bapa durjana liwat anak tiga kali sehari
Hilal Azmi
Ogos 10, 2017 13:11 MYT
Ogos 10, 2017 13:11 MYT
Seorang bapa berusia 36 tahun berdepan 594 pertuduhan liwat terhadap anaknya berusia 15 tahun di Mahkamah Sesyen Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Jenayah Seksual, Yong Zarida Sazali.
Berdasarkan kertas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa S.Umma, dia didakwa melakukan perbuatan keji itu tiga kali sehari pada waktu pagi (sekitar jam 6 hingga 7 pagi), petang (sekitar jam 1 hingga 2 petang) dan malam (sekitar jam 11 hingga 12 tengah malam).
Perbuatan hina tersebut turut dibuat setiap hari di bulan Ramadan termasuk Hari Raya Aidilfitri yang didakwa dilakukan di bilik tidur utama rumahnya, sebuah pangsapuri, di Sungai Way, Petaling Jaya.
Semalam, 182 pertuduhan dibaca sebelum baki 444 pertuduhan dibaca hari ini dengan keseluruhan 626 pertuduhan dibaca.
Berdasarkan pertuduhan liwat yang dibaca semalam dan hari ini, dia didakwa melakukan perbuatan itu hampir setiap hari sejak tujuh bulan lalu iaitu sepanjang Januari, Februari, April, Jun selain 28 hari pada Mei dan 20 hari pada Julai lalu.
Pada prosiding pendakwaan hari pertama semalam, tertuduh turut berdepan 30 tuduhan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuannya antara 6 hingga 1 pagi, pada 11 Julai hingga 20 Julai lalu.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14/16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, tertuduh yang juga mempunyai hak penjagaan terhadap mangsa turut didakwa melakukan penganiayaan seks antara 1 Januari hingga 21 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2016, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Selain itu, lelaki itu turut dituduh merogol mangsa di tempat sama, pada 2 petang, 21 Julai lalu dan didakwa mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan liwat pula, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, Yong Zarida menetapkan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali dan Aimi Syazwani Sarmin.
Kes akan disebut semula pada 18 September depan sementara menunggu laporan kimia dan laporan kesihatan anak perempuan malang terbabit.
#bapa
#bapa liwat anak
#bapa rogol anak
#jenayah
#jenayah seksual
#Kanak-kanak
#liwat
#mahkamah
#seksual