Bapa dituduh rogol anak berusia 13 tahun diarah bela diri

Abd Razak Mohd Ali
November 19, 2019 16:36 MYT
Tertuduh memilih untuk membela diri dengan pengakuan bersumpah di kandang saksi dan pihak pembelaan dijangka akan memanggil empat saksi termasuk tertuduh untuk perbicaraan. - Foto Astro AWANI
Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa memerintahkan seorang buruh membela diri terhadap tuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 13 tahun selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan terdapat kes prima facie.
Hakim Datuk Julie Lack Abdullah menetapkan 20 dan 21 Januari tahun hadapan bagi pembelaan kes berkenaan.
Tertuduh yang berusia 39 tahun didakwa mengikut seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.
Pertuduhan terhadap tertuduh dibuat pada 11 Januari lalu dan perbicaraan berlangsung pada 24 dan 25 Jun lalu.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Keshvinder Singh, Sukhdave Singh dan S Teeban.
Tertuduh memilih untuk membela diri dengan pengakuan bersumpah di kandang saksi dan pihak pembelaan dijangka akan memanggil empat saksi termasuk tertuduh untuk perbicaraan.
Januari lalu, media melaporkan seorang remaja berusia 13 tahun dipercayai menjadi mangsa rogol bapa dan datuknya sendiri di dua lokasi berbeza di kawasan Malim Nawar, sejak lima tahun lalu.
Bagaimanapun, derita remaja itu berakhir apabila bapanya berusia 39 tahun ditahan di tempat kerjanya di Bidor dan datuknya yang berusia 63 tahun pula ditahan di rumahnya di Malim Nawar.
Perbuatan itu terbongkar apabila mangsa yang merupakan anak sulung dari dua beradik menceritakan kejadian itu kepada ibunya selepas dipercayai tidak mampu lagi menanggung tekanan sejak diperlakukan sedemikian.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai bermula pada tahun 2013 ketika mangsa berusia lapan tahun dan dirogol di dua lokasi berbeza di kawasan Malim Nawar.
#Ipoh #Kanak-kanak #mahkamah #Mahkamah Sesyen #perkosa anak #remaja #rogol #rogol anak #sumbang mahram
;