Bapa ditanam hidup-hidup
Sinar Harian
Ogos 4, 2018 11:18 MYT
Ogos 4, 2018 11:18 MYT
Seorang warga emas masih mengingati peristiwa dia mendengar berita bapanya mati ditanam hidup-hidup oleh tentera Jepun pada tahun 1945.
Wan Sepiah Wan Embong, 81, berkata, dia mendapat berita bapanya, Wan Embong Wan Zainal dibunuh tentera Jepun yang disampaikan oleh ibunya, Bunga Awang Deraman ketika usianya waktu itu kira-kira tujuh tahun.
Menurutnya, berita itu amat menyedihkan kerana hubungan dia dengan bapanya sangat rapat apatah lagi dia adalah anak tunggal.
“Arwah ayah ada empat isteri dan emak saya merupakan isterinya paling muda dan semua isterinya tinggal berdekatan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Alor Keladi, Hulu Besut, di sini.
Ditembak tentera Jepun tetapi tidak lut
Wan Sepiah berkata, arwah bapanya merupakan Penghulu Mukim Lubuk Kawah dan dikenali dengan panggilan Tok Gawo Wan Embong.
Menurutnya, Wan Embong ditangkap tentera Jepun di rumahnya di Kampung Alor Keladi kerana dituduh melindungi pegawai-pegawai Inggeris.
“Ayah dan lima pemimpin Melayu lain ditangkap kemudian dibawa menaiki lori di Jertih dan dihantar ke penjara di Kota Bharu, Kelantan dan selang beberapa hari kemudian, mereka dibawa ke Kampung Kijang, Pantai Semut Api, Kota Bharu,” katanya.
Wan Sepiah berkata, di sana Jepun menggali satu lubang besar dan membawa bapa bersama rakan-rakan bapanya ke tepi lubang tersebut.
“Mereka hanya berseluar pendek dengan keadaan kepala ditutup dengan guni manakala tangan diikat kemudian ditembak seorang demi seorang sebelum dihumban ke dalam lubang.
“Apabila tiba giliran ayah, dia ditembak tiga das tetapi peluru itu tidak menembusi badannya kerana ayah saya dikatakan seorang kebal,” katanya.
Bapa ditendang ke dalam lubang sebelum ditimbus
Wan Sepiah berkata lagi, tentera Jepun terus menembak bapanya namun tidak memberi kesan sehinggalah dia ditendang hidup-hidup ke dalam lubang sebelum ditimbus tanah.
Menurutnya, sejak itulah dia membesar tanpa bapa dan perbuatan tentera Jepun tersebut tidak boleh dimaafkan.
“Demikian azabnya hidup ketika zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu apabila bapa saya sendiri menjadi mangsa. Sebab itulah kalau boleh generasi menghargai kemerdekaan negara dan terus mengekalkannya sampai bila-bila,” katanya.
Hargai usaha bawa pulang jenazah arwah bapa
Kata Wan Sepiah, usaha waris semua keluarga yang terkorban membawa pulang jenazah atau rangka pejuang itu dari Kampung Kijang ke tanah perkuburan Kampung Alor Keladi pada November tahun lepas amat dihargainya.
Tambahnya, pengisytiharan kemerdekaan negara yang dibaca oleh Datuk Bentara Luar, Ismail Yusof di Padang Bola Kampung Raja pada 31 Ogos 1957 adalah detik perubahan sehinggalah sekarang.
Sementara itu, menurut cucu saudara Wan Embong, Che Ku Abd Rahman Che Ku Abdullah, 79, yang juga pengerusi Program Pengkebumian Semula Jenazah-Jenazah pahlawan itu berkata, lima yang turut dibunuh bersama Wan Embong ialah Ketua Kampung Lapan Kejur, Abd Karim Abd Samad dan Husain Abdullah (Ketua Kampung Dengir).
Katanya, tiga lagi ialah Othman Mamat (Ketua Kampung Bekok), Ismail Ahmad (Ketua Kampung Teluk) dan Iman Surau Kampung Teluk, Yatim Ahmad.
“Wan Embong dilahirkan di Kuala Besut dan selepas menamatkan persekolahan di Sekolah Melayu Kuala Besut, beliau meneruskan pengajian di Pondok Haji Muhammad, Kuala Besut.
“Allahyarham dikatakan memiliki ilmu persilatan yang hebat setanding dengan nama beberapa ahli persilatan terkenal lain di daerah ini,” katanya.
Che Ku Abd Rahman berkata, Wan Embong membela sembilan ekor kuda ketika menjadi penggawa bagi memudahkan dia berulang-alik ke pejabat-pejabat kerajaan di Kampung Raja dan melawat kampung dalam mukimnya.
Kata beliau, bagi memastikan jasad semua yang dikorbankan diuruskan dengan sempurna dan disemadikan di daerah kelahiran mereka telah mendorong beliau dan waris mangsa menggali semula lubang besar di Kampung Kijang pada 25 November tahun lalu.
“Hanya 12 cebisan tulang keenam pemimpin Melayu Besut itu ditemui kemudian dibawa pulang serta dikafan dan dimandikan sebelum dikebumikan semula dalam satu liang lahat di Alor Keladi,” katanya.
- Wan Embong Wan Zainal Penghulu Mukim Lubuk Kawah, Hulu Besut.
- Ditangkap oleh tentera Jepun bersama lima pemimpin kampung lain kerana membantu Inggeris.
- Ditolak ke dalam lubang besar hidup-hidup bersama lima pemimpin lain yang telah ditembak mati sebelum ditimbus.
- 25 November 2017 kerja menggali semula lubang besar dilakukan waris.
- 12 rangka kecil dipercayai tulang kaki ditemui dan dibawa pulang ke Kampung Alor Keladi, Hulu Besut.
- Dikebumi dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Alor Belanga, Alor Keladi juga pada 25 November 2017.
#anak tunggal
#Bunga Awang Deraman
#ditanam hidup-hidup
#jenazah
#Jepun
#Kampung Alor Keladi
#tentera
#Wan Embong Wan Zainal
#warga emas