Bapa ditahan polis disyaki tampar, tumbuk anak kembar

Bernama
September 27, 2022 18:54 MYT
Pemandu lori yang berusia 44 tahun ditahan polis kerana disyaki mendera anak kembar lelakinya berusia 11 tahun dengan menampar serta menumbuk pada bahagian muka dan badan.
SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mendera anak kembar lelakinya berusia 11 tahun dengan menampar serta menumbuk pada bahagian muka dan badan.
Ketua Polis Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong berkata, pemandu lori yang berusia 44 tahun itu ditahan 7.30 malam semalam di sekitar kawasan rumahnya di Taman Sentosa, Klang oleh sepasukan polis dari cawangan kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bapa kepada lima orang anak itu ialah seorang yang panas baran dan sering memukul pasangan kembar itu sebelum ini.
Katanya, terdapat kesan kecederaan lama ditemukan pada badan kedua-dua mangsa akibat dipukul oleh suspek.
"Suspek juga mempunyai tiga rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan.
Cha berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi kesalahan penderaan dan suspek kini direman empat hari bermula hari ini. - BERNAMA
#tumbuk anak kembar #bapa ditahan polis #dera anak kembar #pemandu lori
;