Bapa ditahan dipercayai bersekongkol dengan pelajar buang bayi di Putrajaya
Afiezy Azaman
Februari 8, 2019 18:53 MYT
Februari 8, 2019 18:53 MYT
Polis menahan tiga individu susulan penemuan mayat bayi perempuan di rumah sampah sebuah kuarters penjawat awam di Presint 18 di sini, semalam.
Individu yang ditahan terdiri daripada pasangan kekasih dan bapa kepada remaja perempuan yang melahirkan bayi berkenaan.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, bayi perempuan tersebut dilahirkan kelmarin kira-kira jam 11.30 pagi oleh suspek yang berusia 17 tahun.
Katanya, remaja tersebut dipercayai telah menutup mulut bayi dengan tuala dan membalut tubuhnya degan selimut lalu dimasukkan ke dalam sebuah beg.
Beg tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam plastik sampah yang diikat dan diletakkan di luar rumahnya bersama sampah yang lain.
Plastik itu telah diambil oleh bapa suspek yang berusia 43 tahun dan diletakkan di rumah sampah berhampiran kawasan perumahan mereka.
Bapa suspek remaja perempuan dan teman lelakinya telah direman dua hari hingga Sabtu manakala remaja perempuan berkenaan direman empat hari hingga Isnin.
Bedah siasat terhadap janin itu dijalankan di Hospital Putrajaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat.
BACA JUGA: Janin bayi ditemukan dalam lubang kumbahan