Bapa dipenjara tiga tahun dan denda RM10,000 dera anak tiri

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 26, 2020 19:43 MYT
Vasadha didakwa telah menganiaya dengan cara mencederakan kanak-kanak perempuan itu yang berusia 10 tahun dengan menggunakan sebulah pisau. - Foto Bernama
Padah menganiaya dan mencederakan anak perempuan tirinya menggunakan sebilah pisau, seorang pemotong rumput terpaksa meringkuk di dalam penjara selama tiga tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen George Town, Norsalha Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh S. Vasadha Kumar, 36, selepas dia mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil.
Selain itu, mahkamah turut mengenakan hukuman denda RM10,000 terhadap tertuduh dan sekiranya lelaki itu gagal membayar denda berkenaan, hukuman penjara selama setahun dikenakan.
Mengikut pertuduhan, Vasadha didakwa telah menganiaya dengan cara mencederakan kanak-kanak perempuan itu yang berusia 10 tahun dengan menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di Pangsapuri Sri Saujana, Gat Lebuh Maccalum pada jam 12.30 malam, 1 Februari lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nurul Fatin Hussain manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
#Akta Kanak-kanak 2001 #dera anak #Kanak-kanak #mahkamah #Mahkamah Sesyen #penjara #S Vasadha Kumar
;