Bapa didakwa miliki 108 bungkus air ketum
Astro Awani
April 11, 2018 15:01 MYT
April 11, 2018 15:01 MYT
Padah memiliki 108 bungkus plastik berisi cecair ketum pada minggu lalu, seorang bapa empat anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.
Tertuduh Mohd Abdul Ghani bakar @ M. Ismail, 31 tahun, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret, Lee Kim Keat sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Kim keat bagaimanapun menetapkan 16 Mei depan bagi menetapkan hukuman sementara menunggu laporan kimia.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang tidak dikecualikan di bawah Akta Racun 1952 didakwa memiliki 108 bungkus plastik cecair ketum yang mengandungi mitragynine dengan isipadu kasar 108 liter, di sebuah rumah di Kampung Kelongkong, Tanjung Kling, Melaka sekitar 1 petang, 4 April 2018 lalu.
Justeru, tertuduh yang tidak bekerja itu didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria memohon tarikh sebutan sementara laporan kimia serta memohon jaminan RM5,000 sebelum tertuduh, yang diwakili peguam Ishak Kari, merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh menanggung isteri yang tidak bekerja serta empat anak yang mana anak bongsunya baharu berusia lapan hari.
Kim Keat kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mei ini sebagai tarikh sebutan fakta kes dan hukuman.