Bapa didakwa bunuh anak sendiri

Bernama
November 29, 2012 15:14 MYT
Seorang pekerja ladang kelapa sawit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Khamis atas tuduhan membunuh anak kandungnya sendiri pada 16 Nov lepas.
Mohd Aswadey Ismail, 29, didakwa membunuh Nor Amirah Mohd Aswadey, 11 bulan, di antara pukul 9.30 malam hingga 10.30 malam di rumah mereka yang bernombor 146, Felda Sungai Panching Selatan, di Kuantan.
Bagi kesalahan itu, Mohd Aswadey didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memahami pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari kemudiannya memohon mahkamah untuk merujuk tertuduh ke Hospital Psikiatrik bagi pemeriksaan mental bagi pengesahan tertuduh mengalami masalah mental atau tidak.
Nurunaim menetapkan 28 Dis depan untuk sebutan semula kes.
#anak #bapa #bunuh #dakwa #Kanun Keseksaan #Kuantan #Mahkaman
;