Bapa dan anak saudara maut kereta bertembung pacuan empat roda
Bernama
Oktober 18, 2014 09:22 MYT
Oktober 18, 2014 09:22 MYT
Seorang lelaki dan anak saudaranya maut manakala sepasang suami isteri parah dan isteri keduanya cedera ringan selepas kenderaan yang dinaiki mereka bertembung di KM19 Jalan Lipis-Merapoh dekat Kuala Lipis semalam.
Mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta jenis Honda Civic, Zahari Abdullah, 35, dari Kampung Pagar Sasak, Lipis dan anak saudaranya iaitu penumpang di sebelah pemandu, Nor Ain Syuhaidah Zainuddin, 13, pelajar SMK Sri Lipis. Bagaimanapun, rakan Nor Ain, pelajar sekolah yang sama Nurul Aini Mohd Zaman, 15, yang duduk di bahagian belakang cedera parah.
Sementara itu, pemandu pacuan empat roda jenis Nissan Frontier, Abillah Hamat, 60, seorang pesara tentera bersama isteri pertamanya yang duduk di bahagian penumpang hadapan, Semah Chik, 54, cedera parah manakala isteri keduanya, penumpang di bahagian belakang Faridah Daud, 43, hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata, nahas pukul 2.30 petang itu berlaku semasa Honda Civic yang dinaiki Zahari bersama anak saudara serta rakan anak buahnya itu dalam perjalanan dari arah Lipis menghala ke Merapoh.
Katanya, Zahari dikatakan mengambil anak buahnya dari SMK Sri Lipis yang baru selesai menduduki peperiksaan di sekolah dan dalam perjalanan pulang ke rumah.
"Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai kereta itu memotong beberapa buah kenderaan tetapi gagal lalu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda terbabit.
"Akibat pertembungan itu Zahari mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala anak saudaranya, Nor Ain akibat kecederaan dalaman," kata Abdul Razak hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta terbabit dipandu laju semasa menuruni jalan berbukit di situ sebelum masuk laluan bertentangan.
Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat dan mangsa yang parah iaitu Nurul Aini dan Semah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk rawatan sementara Abillah dirawat di Hospital Lipis.