Bapa dan anak maut dalam kemalangan babitkan 3 kenderaan

Adie Sufian Zulkefli
Mac 13, 2021 11:32 MYT
Pemandu kereta Perodua Kancil itu maut di lokasi kemalangan manakala anaknya mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di wad Kecemasan Hospital Kulim, awal pagi tadi. - Foto PDRM
KULIM: Dua beranak maut selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Jalan Sungai Karangan-Padang Serai, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa, Zaifisal Zakaria, 42, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya, Muhammad Zafril Zaifisal, 9, meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Kulim.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 9 malam membabitkan kemalangan tiga kenderaan iaitu sebuah kereta Perodua Kancil, Honda Civic dan Proton Wira.
Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun ketika itu dari arah Sungai Petani menghala ke Lunas.
"Namun sebaik tiba di lokasi, didapati kereta Proton Wira terbabit dilanggar di bahagian tepi belakang sebelah kanan oleh kereta Honda Civic yang cuba memotong kenderaannya menyebabkan kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan laluan bertentangan.
"Akibat perlanggaran antara dua kenderaan itu, kereta Honda Civic itu hilang kawalan dan melanggar bahagian depan kereta Perodua Kancil yang datang dari arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azhar berkata, pemandu kereta Honda Civic itu kemudian melarikan diri dari lokasi kemalangan.
Bagaimanapun, pemandu kereta Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu kereta Perodua Kancil itu maut di lokasi kemalangan manakala anaknya mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di wad Kecemasan Hospital Kulim, awal pagi tadi.
"Mayat pemandu dan penumpang kereta Perodua Kancil itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.
"Usaha untuk mengesan dan menangkap pemandu Honda Civic berusia 28 tahun yang melarikan diri masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
#Dua beranak maut kemalangan #Nahas Perodua Kancil #kemalangan maut di Kulim #Kulim #Kedah #Ketua Polis Daerah Kulim #Azhar Hashim #meninggal dunia #mayat #mangsa
;