Bapa dan anak dua bulan maut terkena renjatan elektrik di Banting

Bernama
April 8, 2015 10:17 MYT
Seorang bapa dan anak lelakinya yang baru berusia dua bulan maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di rumah mereka.
Seorang bapa dan anak lelakinya yang baru berusia dua bulan maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Sungai Buaya, Kampung Chodoi, Banting pada Selasa.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Amir Jiran, 45, manakala nama bayi tidak dapat dikenal pasti.
Ketua Balai Bomba Banting Mohd Jaslizad Jalil ketika dihubungi berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pukul 3.39 petang dan jentera tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.
"Menurut saksi, renjatan elektrik itu dipercayai berpunca daripada kipas di rumah baharu mangsa yang masih dalam pembinaan, namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar," katanya.
Mohd Jaslizad berkata kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai rumah itu ketika bomba tiba di tempat kejadian.
Katanya pasukan perubatan kemudian mengesahkan Mohd Amir meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya meninggal dunia di klinik kesihatan berhampiran.
#Banting #bomba #elektrik #maut #renjatan
;