Bapa dan anak antara 13 yang ditahan AADK Perak

Nazialita Geynna Maharan
April 22, 2016 17:20 MYT
Mahadzir menasihatkan golongan ibubapa agar menjalankan pemantauan berterusan ke atas anak mereka yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah. - Foto Astro AWANI
Seramai 13 penagih dadah, termasuk seorang bapa dan anaknya ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak di sekitar daerah Ipoh lewat Khamis malam.
Pengarah AADK negeri, Mahadzir Elias berkata daripada 13 individu yang berusia 17 hingga 51 tahun itu, 13 daripadanya termasuk seorang wanita didapati positif dadah pelbagai jenis.
Selain itu, dalam operasi bermula pada 7.45 malam hingga 1.30 pagi itu, sepasang kekasih dan tiga beradik turut ditahan.
“13 lelaki seorang wanita dan daripada yang ditahan ini juga kita dapati ada tiga suspek ini adalah adik beradik dan ditahan di rumah yang sama dan satu kes lagi bapa dan anak dan ini membimbangkan,” kata Mahadzir.
Kesemua mereka kini disiasat di bawah seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 untuk siasatan selanjutnya.
Katanya, siasatan ujian saringan air kencing mendapati 7 daripada mereka positif dadah jenis methampetamin, 5 positif dadah jenis morfin dan seorang pula positif dadah jenis ganja.
Keseluruhan operasi melibatkan 11 anggota AADK dan serbuan dilaksanakan ke atas beberapa kawasan di sekitar Jelapang, Chemor dan Simpang Pulai.
Justeru Mahadzir menasihatkan golongan ibubapa agar menjalankan pemantauan berterusan ke atas anak mereka yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
#AADK #Agensi Anti Dadah Kebangsaan #Dadah #Mahadzir Elias #Perak
;