Bapa, bayi 11 bulan maut nahas tiga kereta

Sinar Harian
Februari 17, 2024 04:50 MYT
Kemalangan di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh, pagi semalam membabitkan sebuah Proton Saga, Mercedes-Benz dan Perodua Alza. - Foto PDRM
IPOH: Seorang bapa bersama bayinya berusia 11 bulan maut dalam nahas membabitkan tiga kereta di Jalan Kuala Kangsar berhampiran Medan Klebang Restu di sini semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 7.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Fakhrul Najmi Roslan, 26, yang memandu kereta jenis Proton Saga dilaporkan maut di tempat kejadian.
Bayi mangsa, Naura Adleena yang parah bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Difahamkan kemalangan tersebut turut membabitkan kereta jenis Mercedes-Benz dan Perodua Alza masing-masing dipandu lelaki berusia 36 dan 48 tahun.
Kejadian berlaku apabila kereta dinaiki dua beranak itu telah keluar dari simpang dan melintas di hadapan Mercedes menyebabkan kenderaan mewah terbabit tidak sempat brek dan mengelak lalu melanggar bahagian kiri kereta.
Akibat perlanggaran itu, kereta mangsa terbabas dan terseret hingga terkena kereta Perodua Alza yang berada di susur kiri jalan arah Klebang Restu.
Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik HRPB untuk dibedah siasat.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. - Sinar Harian
#kemalangan maut #Ipoh #bapa dan bayi maut #Hospital Raja Permaisuri Bainun
;