Bapa ‘Baby Syifaa’ didakwa salah guna wang RM67,000

Sinar Harian
Julai 12, 2024 06:15 MYT
Yuseri (tiga, kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Bapa kepada 'Baby' Syifaa, Yuseri Yusoff mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan menyalah guna wang milik seorang wanita sebanyak RM67,000 pada tahun lalu.
Yuseri, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Illi Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak perempuan itu didakwa menyalah guna harta sebanyak RM67,000 milik seorang wanita di sebuah premis di Jalan Wangsa Delima 6, Wangsa Maju pada 20 Julai hingga 12 Oktober 2023 lalu.
Dia yang memakai baju T berwarna kelabu, didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Hamizah Hisan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam, Gaithri Thomas yang mewakili tertuduh, merayu kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya yang bekerja sebagai pempengaruh tidak mempunyai pendapatan tetap, selain perlu menyara anak yang berusia sembilan tahun.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Illi Marisqa membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 26 Ogos depan.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menahan seorang lelaki, berhubung kes penipuan dalam urusan yuran guaman pada jam 2.45 petang Selasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki terbabit yang juga aktivis memperjuangkan kes-kes penganiayaan disiasat berhubung menyeleweng wang sumbangan orang ramai yang disalurkan ke akaun syarikatnya, YY Community Center.
Sebelum ini, kisah Baby Syifaa meraih simpati pelbagai pihak selepas bayi itu meninggal dunia di pusat asuhan pada 2022.
Ramai yang menghulurkan derma kepada keluarga Baby Syifaa sebagai sokongan supaya mereka mendapatkan peguam terbaik, untuk membela nasibnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, menerusi ujian saringan air kencing, suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine. - Sinar Harian
#Baby Syifaa #kes mahkamah #kutipan wang #yuran guaman