Bapa ayam sanggup lacur isteri sendiri, 'jual' khidmat di WeChat
Astro Awani
November 13, 2019 18:33 MYT
November 13, 2019 18:33 MYT
Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melacurkan serta menjadi bapa ayam kepada isterinya ketika dihadapkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, di sini pada Rabu.
Pengakuan dibuat selepas pertuduhan mengikut Seksyen 27 dan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melacurkan atau membiarkan isterinya berusia 32 tahun melacurkan diri di sebuah bilik hotel di daerah Kuala Terengganu kira-kira jam 8.40 malam pada 24 Julai lalu.
Tertuduh juga didakwa menjadi orang tengah terhadap perlakuan sumbang antara isterinya dan lelaki lain di lokasi, waktu dan hari yang sama.
Sementara itu, di mahkamah sama, isterinya turut didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.
Bagaimanapun suri rumah itu mengaku tidak bersalah atas dakwaan tersebut, bersama seorang pelanggannya di bilik hotel, waktu dan hari sama.
Pendakwaan dikendalikan pendakwa syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu, Mohd Khasmizan Abdullah manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam Fazru Anuar Yusof daripada Tetuan Khairul Sofian Anuar & Co.
Sejurus pengakuan pasangan itu direkodkan, mahkamah menetapkan 19 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh lelaki diikat jamin sebanyak RM2,000 bersama seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Manakala tertuduh wanita di ikat jamin sebanyak RM1,500 bersama seorang penjamin selain menetapkan syarat kedua-dua penjamin adalah individu berbeza.
Sebelum itu pasangan suami isteri itu ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selepas tindakan mereka yang mempromosikan khidmat seks menerusi aplikasi WeChat dihidu.
#aplikasi WeChat
#bapa ayam
#Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah
#Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu
#JHEAT
#Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu
#melacurkan isteri
#Takzir