Bapa, anak maut, kereta tiba-tiba masuk laluan bertentangan

Bernama
Julai 12, 2018 03:08 MYT
Dalam kemalangan itu, pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak sempat mengelak, menyebabkan kedua-dua kenderaan terseret ke tepi jalan. - Gambar hiasan
Dua beranak maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah Proton Persona di simpang Jalan Bahagia, Jalan Kuala Baram pada 11 malam semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata dua mangsa tersebut ialah pemandu kereta Proton Pesona Thomas Balang Apoi, 45, dan penumpang yang juga anak lelakinya, Elfhy Leonald Panai Thomas, 8.
Manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, seorang lelaki berusia 25 tahun, hanya cedera ringan.
"Elfhy maut serta-merta di lokasi kejadian dan Thomas pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Miri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson berkata siasatan awal mendapati Toyota Hilux terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Permyjaya ke Pujut apabila tiba-tiba Proton Persona dipandu mangsa dari arah bertentangan masuk ke simpang Jalan Bahagia.
"Pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut tidak sempat mengelak menyebabkan kedua-dua kenderaan terseret ke tepi jalan," katanya.
-- BERNAMA
#anak #bapa #kemalangan #maut #Miri #pacuan empat roda