Bapa, anak maut dalam nahas motosikal-4WD di Gua Musang
Sinar Harian
Oktober 12, 2021 08:09 MYT
Oktober 12, 2021 08:09 MYT
GUA MUSANG: Seorang lelaki orang asli dan anak lelakinya berusia 12 tahun meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta pacuan empat roda dan motosikal di Kilometer 22, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pada Isnin.
Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, mangsa, Jeli Udang, 34, yang tinggal di Kampung Pos Lebir dipercayai menunggang motosikal bersama dua anaknya, Amir Jeli dan seorang lagi anaknya dipercayai berusia empat tahun.
Bagaimanapun, Jeli dan Amir meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala manakala seorang lagi anaknya itu selamat dan menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, hasil siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda (4WD) berkenaan dalam perjalanan dari arah Kuala Krai ke Gua Musang manakala motosikal mangsa dari arah bertentangan.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal berkenaan didakwa membuat pusingan U dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan pacuan empat roda terbabit.
"Jeli dan anak lelakinya meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan serta dua penumpang pacuan empat roda menerima rawatan di Hospital Gua Musang," katanya.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
*Berita asal di Sinar Harian