Bapa, anak maut dalam kejadian langgar lari di Sungai Besar

Bernama
Jun 10, 2016 18:30 MYT
Kedua-dua mangsa dipercayai petugas sebuah parti politik yang sedang melintas jalan untuk ke surau dari sebuah rumah di situ.
Seorang bapa dan anaknya yang sedang melintas jalan untuk ke sebuah surau maut dalam satu kejadian langgar lari di Kilometer 69 Jalan Klang-Teluk Intan berdekatan Surau Parit 8, Sungai Leman di sini, awal pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Sharif Mohd Din, 53, beralamat di Batu 9, Cheras dan anaknya Muhammad Ridhwan Sharif, 19.
Pegawai Perhubungan Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar, ACP Khalil Ariffin berkata dalam kejadian kira-kira 5 pagi tadi, kedua-dua mangsa yang dipercayai petugas sebuah parti politik sedang melintas jalan untuk ke surau berkenaan dari sebuah rumah yang terletak kira-kira 50 meter dari situ.
Beliau berkata kedua-dua mangsa kemudian dirempuh sebuah kenderaan sehingga tercampak ke bahu jalan sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
"Daripada kesan tayar di tempat kejadian, kita percaya kenderaan terbabit merupakan sebuah kereta dan ia dipercayai dipandu laju," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kemalangan tersebut supaya menghubungi pegawai penyiasat Insp Salmah Abu Bakar di talian 03-32245963 bagi membantu siasatan.
Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#kemalangan #langgar lari #petugas parti politik #pilihan raya kecil Sungai Besar
;