Bapa, anak berusia tiga tahun rentung dalam kemalangan
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 31, 2020 15:53 MYT
Januari 31, 2020 15:53 MYT
Dua beranak rentung dalam kemalangan selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan terbakar di Kilometer 119 arah utara Lebuhraya Plus dekat Bertam, Kepala Batas pada pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Yeap Boon Kwan, 23, dan anaknya, Yeap Jing Xuan yang berusia 3 tahun.
Manakala seorang lagi mangsa iaitu isteri Boon Kwan yang berusia 29 tahun dapat menyelamatkan diri.
Difahamkan keluarga itu sedang dalam perjalanan ke Sungai Petani, Kedah
Setiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sehingga terbabas dan melanggar panghadang jalan lalu terbakar.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.58 pagi.
Sejurus tiba di lokasi, pihaknya mendapati kenderaan jenis Toyota Alphard sedang terbakar selepas melanggar penghadang jalanraya.
Anggota bomba mengesan dua mayat rentung keseluruhan badan dalam kenderaan selepas api berjaya dipadamkan.
Mayat serta mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kepala Batas.
#bertam
#dua beranak rentung
#kebakaran
#Kepala Batas
#Lebuhraya PLUS
#Yeap Boon Kwan
#Yeap Jing Xuan