Bapa Altantuya mohon hukuman mati Azilah diringankan kepada dipenjara

Bernama
Oktober 10, 2024 12:20 MYT
Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev (foto) memohon agar hukuman mati terhadap bekas polis Azilah Hadri diringankan kepada pemenjaraan. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Bapa kepada wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu telah mengemukakan surat bagi memohon hukuman mati terhadap bekas polis Azilah Hadri yang disabitkan membunuh anaknya, diringankan kepada pemenjaraan.

Ringkasan AI
  • Bapa Altantuya Shaariibuu memohon agar hukuman mati terhadap bekas polis Azilah Hadri diringankan kepada pemenjaraan. Permohonan ini disampaikan melalui surat yang dibacakan oleh peguam Azilah, J.Kuldeep Kumar, kepada Mahkamah Persekutuan.
  • Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, yang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tun Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan, sedang mendengar permohonan semakan semula hukuman mati terhadap Azilah. Prosiding masih berjalan.
  • Dalam suratnya, Shaariibuu Setev menekankan pentingnya menghormati sifat kemanusiaan dan hak untuk hidup, serta menggesa penyelesaian segera terhadap saman sivil yang difailkan terhadap Azilah, Sirul, dan kerajaan. Ini adalah kes pertama di Malaysia di mana ahli keluarga si mati menyokong permohonan semakan hukuman banduan.

Peguam Azilah, J.Kuldeep Kumar memaklumkan perkara itu hari ini kepada panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan Azilah untuk semakan semula hukuman mati terhadapnya
Panel terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tun Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan. Prosiding masih berjalan.
Dalam surat yang dibacakan Kuldeep kepada mahkamah, Shaariibuu Setev menyatakan permohonannya adalah atas dasar hormat yang mendalam pada sifat kemanusiaan rakyat Mongolia.
Menurut Kuldeep, Shaaribuu dalam suratnya menyatakan sangat penting untuk mengiktiraf bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mempertahankan kesucian kehidupan, menekankan bahawa semua makhluk di planet ini mempunyai hak untuk wujud.
Kuldeep berkata Shaariibuu juga meminta agar permohonannya itu disampaikan kepada Sirul Azhar Umar dan peguamnya, mahkamah, pejabat pendakwa raya dan kerajaan.
Beliau berkata Shaariibuu meminta agar nilai kemanusiaan diangkat dan penyataan yang jujur ditegakkan di semua negara.
Dalam suratnya, Shaariibuu turut menggesa penyelesaian segera terhadap saman sivil yang difailkan terhadap Azilah, Sirul dan kerajaan, yang menurutnya telah lama tertangguh.
Ini merupakan kes pertama di Malaysia ahli keluarga si mati telah menyokong permohonan semakan hukuman banduan.
Pada 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman oleh keluarga Altantuya terhadap Azilah, Sirul dan kerajaan justeru memutuskan keluarga Altantuya dibayar RM5 juta sebagai ganti rugi.
Perkara itu kini menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. Azilah, 48, disabitkan membunuh Altantuya pada 2009 bersama bekas koperal Sirul, 53, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi keesokan harinya pada 2006.
Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-dua lelaki itu.
Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah pada 2015 apabila Mahkamah Persekutuan mengesahkan hukuman mati tersebut. Dia dipercayai berada di Australia.
-- BERNAMA
#Altantuya Shaariibuu #Sirul Azhar Umar #Shaariibuu Setev #hukuman mati
;