Bapa 65 tahun cabul, rogol anak angkat dalam semak
Rudi Affendi Khalik
Mei 24, 2019 08:19 MYT
Mei 24, 2019 08:19 MYT
Dicabul pada awal pagi ketika ibu menjemur kain di luar rumah, kemudian dirogol di dalam semak ketika dalam perjalanan menuju ke sekolah.
Itu derita seorang remaja berusia 17 tahun pada Jumaat lalu, dan lebih menyedihkan, perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh insan yang digelarnya 'bapa' sejak kecil.
Ia juga kemuncak nafsu buas lelaki berusia 65 tahun itu yang sebelum ini berulang kali mencabul 'anak angkatnya' itu sejak dua tahun lalu.
Lelaki itu turut mengugut untuk menampar mangsa jika memberitahu pihak ketiga akan perbuatan terkutuk itu, sambil selalu membayang untuk melakukan hubungan seks dengan mangsa bawah umur itu di dalam hutan berdekatan rumah mereka bagi menakutkannya.
Mangsa dikatakan pernah mengadu pada ibu angkatnya, iaitu isteri kepada lelaki tersebut, namun tidak diendahkan.
Pelajar tingkatan lima itu kemudian meluahkan 'rahsia hitam' itu kepada gurunya pada Selasa lalu, ketika dipanggil kerana remaja terbabit sering ponteng sekolah.
Mangsa memberitahu gurunya, dia enggan ke sekolah kerana sering menjadi mangsa cabul lelaki tersebut ketika pergi dan pulang dari sekolah.
Malah, pemangsa sanggup menggunakan jalan yang jauh sebelum memberhentikan motosikalnya di lokasi sunyi untuk melampiaskan nafsu liarnya.
Susulan pengakuan mangsa, guru berkenaan membuat laporan polis pada Selasa, sebelum sepasukan polis menahan suspek di rumahnya di Kampung Temenggong ,di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan ketika mengesahkan penangkapan memaklumkan, sejurus ditangkap, pihaknya berjaya mendapatkan pengakuan suspek berhubung perbuatan jijiknya itu.
"Mangsa tinggal bertiga bersama-sama suspek dan isterinya, dan menjadi anak angkat pasangan berkenaan sejak bayi.
"Kerana mereka tidak mempunyai anak, ibu kandung mangsa iaitu kakak kepada ibu angkatnya telah menyerahkan anak itu untuk dipelihara mereka," katanya.
Tambah Aidil, suspek telah dibawa ke Mahkamah Kuching semalam, untuk direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
#Anak angkat
#Kampung Temenggong
#mangsa cabul
#pelajar tingkatan lima
#Polis Daerah Padawan
#rogol dalam semak