Banyakkan program, tarik minat pelajar dalam bidang STEM - Wan Azizah
Bernama
April 24, 2024 17:45 MYT
April 24, 2024 17:45 MYT
KAJANG: Pendedahan pelbagai program berasaskan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) perlu dilaksanakan secara berterusan bagi menangani isu penurunan minat terhadap bidang tersebut khususnya dalam kalangan belia.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata antara punca aliran STEM kurang diminati golongan muda adalah kerana ia sukar dikuasai, proses pengajaran yang kurang menarik serta kurangnya prospek pekerjaan dalam bidang tersebut.
"Selain faktor pelajar, kaji selidik turut mendapati dasar 60:40 (sasaran nisbah pelajar sains berbanding sastera) turut dipengaruhi faktor sekolah iaitu dari segi infrastruktur makmal sains. Sebilangan makmal di sekolah dalam keadaan tidak lengkap atau mempunyai infrastruktur yang terhad," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Engineering Day 2024 di sini hari ini.
Justeru, katanya program seperti Engineering Day 2024 anjuran Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) amat digalakkan bagi membantu menanamkan minat pelajar dalam bidang tersebut.
Wan Azizah berkata inisiatif seperti itu boleh menjadi permulaan yang baik khususnya buat seluruh pelajar sekolah yang akan menjadi profesional negara pada masa hadapan terutamanya dalam bidang tersebut.
Turut hadir, Naib Canselor UNITEN Profesor Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.
Menurut Wan Azizah pendekatan terbaik mencetus minat pelajar untuk memilih bidang itu ialah dengan mendedahkan mereka dengan konsep-konsep asas STEM yang mudah dan menyeronokkan seperti aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang program Engineering Day.
Sebanyak 16 sekolah dari Parlimen Bandar Tun Razak dijemput untuk menyertai program berkenaan yang menyasar penglibatan 160 pelajar Tingkatan Lima.
Pada program itu, lima stesen aktiviti STEM disediakan iaitu stesen Kit Tenaga Boleh Baru (Renewable Energy Kit), stesen Permainan Realiti Maya (Virtual Reality), stesen Drabot (robotik), stesen reka bentuk kejuruteraan dan pencetakan 3D serta stesen panel suria untuk diterokai pengunjung, khususnya pelajar.
-- BERNAMA
#Wan Azizah Wan Ismail
#program berasaskan Sains Matematik Kejuruteraan dan Teknologi
#STEM
#kalangan belia
#Uniten