Banyak warga tempatan jadi dalang jenayah rentas sempadan - Panglima Angkatan Tentera

Ridauddin Daud
Disember 14, 2020 12:59 MYT
Affendi (tengah) ketika berucap pada Majlis Menandatangani Prosedur Terap Operasi Op Benteng di Kuala Lumpur, hari ini. Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kebanyakan aktiviti jenayah rentas sempadan didalangi tekong dan warga tempatan yang mengambil kesempatan dalam keadaan tidak menentu sekarang, terutamanya berkaitan COVID-19.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, situasi itu tidak harus dibiarkan berlanjutan kerana akan merugikan dan menjejaskan kesejahteraan negara.
Menurutnya, agensi penguatkuasaan sentiasa komited membanteras masalah tersebut dan sejak Op Benteng dilaksanakan, seramai 9,677 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan.
“Seramai 831 orang tekong (darat dan laut) dan 374 orang penyeludup ditahan sepanjang tujuh bulan operasi ini dilaksanakan.
“Hasil daripada penahanan dan tangkapan ini, kita telah dapat mengumpulkan barang rampasan yang keseluruhannya bernilai sehingga RM199 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Prosedur Terap Operasi (PTO) Op Benteng di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
PTO yang mula dibangunkan pada April 2020 adalah bertujuan mendokumentasikan semua rujukan serta pengarahan berkaitan Op Benteng agar dapat dijadikan sebagai rujukan dan garis panduan.
Ia bagi memastikan setiap operasi bersepadu dapat dilakukan dengan lebih baik dan berkesan.
Dalam pada itu, Affendi berkata, PTO merupakan sebuah dokumen yang hidup, terbuka untuk semakan dan penambahbaikan dari masa ke masa mengikut relevansi dan juga ancaman semasa yang bakal ditemui kelak.
“Dengan termeterainya PTO Op Benteng ini, ia menandakan komitmen kita semua dalam memastikan jalinan hubungan kerjasama antara agensi ini perlu sentiasa diperkukuhkan.
“Ia perlu diperkukuhkan demi mencapai objektif memperkasakan kawalan sempadan negara dari diceroboh oleh PATI dan lain-lain anasir yang boleh memberikan kesan negatif kepada negara,” ujanrya.
Sementara itu, Affendi berkata, pelaksanaan operasi itu telah mendapat sokongan rakyat dengan 653 aduan telah direkodkan melalui talian hotline National Task Force (NTF) yang mula diaktifkan sejak 20 Jun.
“Kecaknaan rakyat ini telah membuahkan beberapa siri kejayaan operasi seperti, kejayaan menumpaskan penyeludupan, dan juga penahanan PATI yang cuba membolosi sempadan negara,” katanya.
#pati #pendatang asing #tekong #COVID-19 #ambil kesempatan #Affendi Buang #rentas sempadan #jenayah #penyeludup #ditahan #rampasan #Op Benteng #agensi penguatkuasaan #barang rampasan
;