Banyak syarikat China minat melabur di Pulau Pinang - Chow

Bernama
Julai 29, 2024 15:58 MYT
Pulau Pinang menerima peningkatan pertanyaan daripada syarikat China yang memburu peluang pelaburan sejak lebih setahun ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow. - Gambar fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Pulau Pinang menerima peningkatan pertanyaan daripada syarikat China yang memburu peluang pelaburan sejak lebih setahun ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata pertambahan ini mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap potensi ekonomi dan persekitaran mesra perniagaan di rantau ini.
"Banyak syarikat China berhasrat untuk melabur di Asia Tenggara, termasuk Pulau Pinang dan Malaysia. Buat masa ini, kami belum menyaksikan banyak pelaburan yang berjaya, tetapi telah menerima banyak pertanyaan.
"Terdapat kemungkinan syarikat di China berwaspada untuk membawa pelaburan mereka di luar negara itu kerana melibatkan aliran keluar modal," katanya dalam sidang media bagi mengumumkan Sidang Kemuncak dan Ekspo Semikonduktor Asia Pasifik (APSSE) 2024 di sini hari ini.
APSSE akan diadakan pada 16 hingga 18 Oktober ini di Pusat Konvensyen SPICE.
Acara berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) menerusi kerjasama strategik dengan Persatuan Industri Peralatan Pengeluaran Elektronik China (CEPEA) dan disokong oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.
Sementara itu, Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai berkata terdapat potensi dari segi peningkatan pertanyaan di Pulau Pinang dan Malaysia berikutan ekosistem sedia ada di negeri berkenaan.
Beliau berkata banyak syarikat di China dalam subsektor teknologi yang tidak beroperasi di Malaysia.
"Kami mahu syarikat yang boleh menambah nilai kepada kami dan mengukuhkan ekosistem, dan China mempunyai banyak subsektor teknologi sedemikian yang boleh meningkatkan ekosistem kami.
"Subsektor ini termasuk material, antara muka, semikonduktor dan lapisan penebat. Subsektor berkenaan akan dapat mengisi jurang dalam rantaian bekalan tempatan," katanya.
Wong berkata syarikat China berminat untuk melabur di Pulau Pinang dan Malaysia menerusi pelbagai kaedah termasuk kerjasama, pelaburan bersama dan penyumberan luar.
Beliau berkata CEPEA memutuskan penganjuran APSSE di Pulau Pinang selepas melakukan tinjauan di Malaysia selain operasi industri elektrik dan elektronik serta semikonduktor yang signifikan di Pulau Pinang.
Beliau berkata persidangan itu akan menjadi platform penting kepada pihak berkepentingan, bukan sahaja bagi Pulau Pinang, malah Malaysia.
"Mereka mahu penganjurannya di sini untuk memaklumkan kepada dunia mengenai kepentingan China dan menunjukkan kehadiran mereka di Asia Pasifik. Kami berharap lebih banyak kerjasama akan terhasil daripada acara ini dan limpahan positif kepada ekosistem," katanya.
Setiausaha Agung cawangan, CEPEA, Steven Huang mengakui syarikat China berminat untuk bekerjasama dan melabur di Malaysia dan Pulau Pinang.
Beliau berkata CEPEA berharap dapat menggalakkan persahabatan dan kerjasama bersama antara China dan Malaysia serta negara lain di rantau Asia Pasifik dalam APSSE akan datang.
"Ini kali pertama CEPEA bekerjasama dengan MSIA dengan sokongan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mengadakan persidangan antarabangsa selama dua hari itu," katanya.
-- BERNAMA
#syarikat China #melabur #pulau pinang #Chow Kon Yeow