Banyak negeri buat persiapan rapi 'sambut' ketibaan vaksin COVID-19

Bernama
Februari 23, 2021 20:49 MYT
Kebanyakan negeri dilihat cukup teruja menantikan 'ketibaan' vaksin itu dengan melakukan persiapan rapi, termasuk dari segi penyediaan tempat penyimpanannya. - Bernama
KUALA LUMPUR: Menjelang hari pertama, fasa pertama pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan esok, kebanyakan negeri dilihat cukup teruja menantikan 'ketibaan' vaksin itu dengan melakukan persiapan rapi, termasuk dari segi penyediaan tempat penyimpanannya.
Di Perak, Sultan Nazrin Shah sendiri hari ini mencemar duli berangkat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia, premis yang bakal menjadi salah satu satu lokasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Perak.
Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad memaklumkan 60 peratus daripada 34,743 petugas barisan hadapan di Perak yang disenaraikan, bersetuju menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech untuk fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Sementara 40 peratus lagi daripada golongan itu tidak bersetuju untuk menerima suntikan vaksin berkenaan atas sebab-sebab seperti alahan teruk, hamil dan sebagainya.
"Saya sendiri dan barisan exco kerajaan negeri, akan menjadi antara yang terawal menerima suntikan vaksin berkenaan selain Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengarah Kesihatan negeri Dr Ding Lay Ming," katanya.
Bekalan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech fasa pertama pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaporkan akan dibawa dari Pusat Simpanan Vaksin (PSV) Bayan Lepas, Pulau Pinang ke Perak esok.
PPV itu dilaporkan mampu memberi suntikan vaksin kepada 800 orang sehari dengan penyediaan empat stesen yang menempatkan lapan vaksinator (petugas memberi suntikan).
Sementara di Melaka, Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali memaklumkan penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech dari Kuala Lumpur ke pusat penyimpanan vaksin di Hospital Melaka, akan dilakukan secara laluan darat dengan kawalan keselamatan tinggi.
"Kita telah bersedia untuk menyambut ketibaan vaksin itu dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Hasim Hasan akan mengetuai penerimaan vaksin di Hospital Melaka," katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Tanaman Cili Menggunakan Teknologi Hijau di Bandar Hijau, Ayer Keroh, hari ini.
Seramai 660,000 rakyat Melaka bakal menerima vaksin itu yang akan dilakukan secara berperingkat dalam tiga fasa.
Pada masa yang sama, seramai 22,753 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) di Pulau Pinang akan menerima suntikan vaksin bagi fasa pertama yang dijangka bermula esok.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin berkata menerusi fasa pertama juga, seramai 10,474 petugas barisan hadapan yang bukan petugas kesihatan KKM juga akan menerima suntikan itu.
"Secara keseluruhannya lebih 33,227 petugas barisan hadapan di negeri ini akan menerima suntikan vaksin bagi fasa pertama, dan bagi petugas KKM mereka akan disuntik di klinik kesihatan yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Langkawi pula dijangka menerima sejumlah 1,278 vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech Khamis ini (25 Feb), kata Pegawai Daerah Saiful Anwar Azmi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa COVID-19 Daerah Langkawi berkata, bekalan vaksin itu akan dibawa menggunakan perkhidmatan feri Roro dari Kuala Perlis, Perlis ke Dermaga Tanjung Lembung, dekat sini.
"Seterusnya bekalan itu akan dibawa ke stor integrasi di Klinik Kesihatan Air Hangat untuk disimpan di lokasi berkenaan. Program vaksinasi peringkat pertama akan bermula pada Ahad (28 Feb) di Dewan Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)," katanya.
Di Perlis pula, 8,000 petugas barisan hadapan di negeri itu akan menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech fasa pertama yang dijadual tiba petang esok.
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata fasa pertama Pelan Imunisasi COVID-19 di negeri itu dijangka bermula pada 1 Mac hingga April, manakala fasa kedua pelan akan bermula pada April hingga Ogos melibatkan seramai 94,000 orang.
"Kita telah mengenal pasti empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi fasa pertama iaitu di Klinik Kesihatan Kampung Gial, Klinik Kesihatan Beseri, Klinik Kesihatan Felda di Chuping dan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.
"Dua lagi PPV dikenal pasti untuk fasa kedua iaitu Dewan Wawasan 2020, Dewan Seri Melati dan Dewan Warisan yang terletak di Kangar," katanya.
Sementara itu, di Negeri Sembilan, Menteri Besarnya Datuk Seri Aminuddin Harun menasihatkan rakyat seluruh penduduk negeri untuk menerima suntikan vaksin berkenaan bagi mengekang penularan COVID-19.
Beliau juga menyatakan kesediaan menerima suntikan vaksin COVID-19 yang dijadualkan tiba ke negeri itu dalam masa terdekat, yang mana beliau telah mendaftar diri dengan KKM untuk suntikan itu.
"Bagaimanapun, vaksin berkenaan akan diutamakan kepada barisan petugas hadapan terlebih dahulu. Berapa jumlah dan siapa penerima terawal, saya belum ada maklumat lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dewan Legasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah, hari ini.
-- BERNAMA
#vaksin COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #COVID-19 #program vaksinasi #vaksin #petugas kesihatan #Kementerian Kesihatan #Kuala Lumpur #Menteri Besar #KKM #menteri #keselamatan #MyVaksinCOVID19
;