Banyak karya sasterawan wajar dijadikan buku teks - A. Samad Said
Bernama
November 1, 2018 16:27 MYT
November 1, 2018 16:27 MYT
Kementerian Pendidikan digesa agar mengambil langkah lebih proaktif untuk menjadikan karya-karya sasterawan negara sebagai buku teks di semua peringkat sekolah.
Sasterawan Negara Datuk Seri A.Samad Said berkata banyak karya-karya yang bagus dihasilkan sasterawan negara dan ia wajar dijadikan teks dalam silibus pembelajaran sekarang.
"Kita harus bimbing mereka ini melalui karya yang bagus untuk menceritakan tentang dunia sekarang secara realiti agar pelajar ini berada di tempat yang betul," katanya kepada pemberita selepas Program Pembicaraan Kalam Karyawan Siri 2 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini, hari ini.
Samad yang merupakan Sasterawan Negara ke-4 berkata, tidak cukup dengan hanya dua buah hasil sasterawan termasuk dirinya dicetak untuk diperkenalkan kepada generasi sekarang.
"Dah banyak usaha dilakukan dan diperkatakan namun kesudahannya, sastera tidak dipandang termasuklah oleh Kementerian Pendidikan. Sasterawan dijulang tetapi buku hasil karyanya tidak dibeli atau digunakan di sekolah. Ini satu suasana yang aneh" katanya.
"Tidak ketinggalan, ada sasterawan terpaksa mencetak sendiri hasil karya mereka untuk dijual di samping hidup pada musim-musim tertentu sahaja seperti bulan bahasa dan selepas itu hanya tinggal nama," tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Datuk Nafisah Ahmad berkata program perpustakaan bergerak adalah antara inisiatif yang diambil PNM untuk mendedahkan masyarakat kepada karya sasterwan negara.
"Kita ada koleksi yang bukan saja dihasilkan sasterawan negara tetapi juga buku-buku yang dibaca mereka untuk dijadikan panduan orang ramai mengenali karya dan corak pemikiran sasterawan ini. Jadi, kita bawa koleksi ini ke semua kawasan termasuk di luar bandar melalui perpustakaan bergerak dan perpustakaan desa agar mereka dapat membaca dan menghargai karya-karya unik ini," katanya.
Menurutnya PNM juga dalam usaha mendigitalkan karya-karya sasterawan ini termasuk mencari mekanisme terbaik untuk menghasilkan dan menyampaikannya kepada pembaca.
"Selain terikat dengan kos, kita juga perlu mendapatkan kebenaran daripada penulis kerana ia melibatkan hak cipta dan pembayaran," katanya.
-- BERNAMA