Banyak faktor sebelum adaptasi sistem pendidikan luar di negara ini - Prof Madya Wan Marzuki

Faida Rahim
Februari 7, 2024 18:19 MYT
WAN MARZUKI: Malaysia memiliki budaya, latar belakang yang agak berbeza untuk menjadikan negara luar contohnya Jepun dan Finland sebagai penanda aras. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil kira banyak faktor sebelum mengadaptasi sistem pendidikan luar negara sepenuhnya untuk dipraktikkan di negara ini.
Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan UPM Prof Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar memaklumkan ini disebabkan Malaysia memiliki budaya, latar belakang yang agak berbeza untuk menjadikan negara luar contohnya Jepun dan Finland sebagai penanda aras.
"Tetapi benchmarking atau penanda aras itu adalah untuk kita adaptasikan, kita tidak boleh mengambil 100 peratus menggunakan sistem di luar sana untuk kita tempatkan dalam negara kita.
"Sebab kita mungkin mempunyai latar belakang, budaya dan sebagainya yang mungkin agak berbeza.
"Maka apabila kita buat penanda arasan dan sebagainya, apabila kita bawa ke negara kita maka sistem yang kita kata adaptasi penambahbaikan, menyesuaikan dengan keperluan asas, keperluan negara dan juga hasrat falsafah pendidikan negara yang kita telah tentukan untuk rakyat kita harus kita ambil kira," katanya.
Beliau berkata demikian dalam AWANI Pagi pada Rabu.
AWANI Pagi: Penyelarasan Prasekolah: Permulaan Ke Arah Reformasi Pendidika
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sistem pendidikan prasekolah di negara ini dilihat semula dengan memastikan kemudahan tambahan diberi perhatian.
Menurutnya, Malaysia agak ketinggalan dalam soal menyediakan beberapa kemudahan termasuk kategori digital bagi prasekolah dalam soal infra digital dan juga kurikulum masa depan prasekolah.
Oleh demikian, beliau menggesa Menteri Pendidikan baharu (Fadhlina Sidek) lihat semula sistem prasekolah di negara ini.
#Fadhlina Sidek #Wan Marzuki Wan Jaafar #sistem pendidikan luar negara #Jepun dan Finland
;