Banyak agensi tidak ambil iktibar teguran Ketua Audit Negara - IIM

Astro Awani
Oktober 3, 2013 07:15 MYT
Sikap tidak mengambil iktibar teguran Ketua Audit negara terhadap agensi dan kementerian lain menyebabkan ketirisan dan penyelewengan terus berlaku setiap tahun.
Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata semua agensi dan kementerian sepatutnya tidak mengambil mudah teguran yang dibuat Ketua Audit Negara.
Katanya, ada agensi dan kementerian yang berpendapat apa yang berlaku di tempat lain tidak akan berlaku di jabatan mereka.
"Banyak perkara yang ditegur oleh pihak Ketua Audit tetapi banyak agensi yang tidak mengambil iktibar teguran tersebut.
"Sepatutnya semua agensi dan kementerian perlu mengambil iktibar teguran yang dibuat oleh ketua audit negara," katanya ketika menjadi tetamu program Analisis Awani pada Khamis.
Selain itu katanya antara faktor yang menyebabkan perkara yang sama berulang setiap tahun kerana sikap tidak komited dalam menjalankan tugas.
Mohd Tap berkata faktor lain yang dikesan ialah tiada pemantauan ketika proses pembelian dilakukan oleh agensi atau kementerian juga penyebab berlakunya ketirisan dan penyelewengan.
#analisis awani #Institut Integriti Malaysia #Ketua Audit Negara #Laporan Audit Negara #Mohd Tap Salleh
;