Banyak aduan PPA1M: 1,100 pemilik perlu tangguh kemasukan - Zuraida

Irwan Muhammad Zain
Julai 29, 2018 07:53 MYT
Zuraida menunjukkan poster PPA1M ketika sidang media selepas mesyuarat bersama penduduk ketika lawatan kerja ke projek PPA1M Bukit Jalil pada Ahad. - BERNAMA
Seramai 1,100 pemilik kediaman Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Bukit Jalil perlu menangguhkan dahulu kemasukan mereka bagi tempoh sebulan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Pemilik yang telah menerima kunci rumah tetapi masih belum mendiaminya perlu menangguhkan kemasukan kerana terdapat banyak aduan diterima mengenai masalah di bangunan kediaman tersebut termasuk spesifikasi yang tidak dipatuhi pemaju.
Katanya, pemilik perlu memberi tempoh sebulan kepada pemaju untuk menyiapkan saki-baki kerja yang tidak diselesaikan dan penduduk boleh dudukinya selepas mendapat kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Dalam masa sebulan itu, JKR dan Ikram akan membuat pemeriksaan ke atas semua masalah di dua blok untuk melihat masalah-masalah yang timbul dan perkara yang tidak menepati tawaran.
"Selepas sebulan, JKR akan memaklumkan kepada jawatankuasa komuniti penduduk PPA1M Bukit Jalil yang ditubuhkan hari ini dan selepas itu barulah pemilik kediaman itu boleh masuk ke rumah mereka," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan lebih dua jam dengan pemaju dan penduduk PPA1M Bukit Jalil di sini, pada Ahad.
Beliau berkata kebanyakan masalah yang disuarakan dipercayai timbul berikutan projek PPA1M Bukit Jalil itu siap 17 bulan lebih awal dari tarikh sepatutnya.
"Ketika ini sebanyak 400 daripada 1,500 pemilik telah menduduki rumah masing-masing. Mereka ini boleh terus tinggal, namun jika terdapat sebarang masalah boleh terus membuat aduan kepada jawatankuasa komuniti tersebut," katanya lagi.
#aduan #Bukit Jalil #KPKT #PPA1M #rumah #Zuraida Kamaruddin
;