Bantut dan malnutrisi: Solusi perlu sentuh isu pokok - Penyelidik

Madiha Abdullah
Mac 18, 2023 08:00 MYT
DEREK KOK: Dari kajian yang dibuat, bukan ibu bapa tidak pandai pilih makanan tetapi isunya adakah mereka mampu? - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerjasama rentas agensi yang dimeterai melalui memorandum jemaah menteri dilihat sebagai langkah pertama yang penting dalam menangani isu malnutrisi dan bantut dalam kalangan kanak-kanak.
Namun, Penyelidik Jeffrey Cheah Institute Sunway University, Derek Kok berkata, ia tidak harus berakhir di peringkat itu, sebaliknya diteruskan bagi mencari penyelesaian yang menyeluruh.
"Memorandum itu langkah pertama, melihat konteks politik sekarang, memorandum sebegini penting untuk memastikan kementerian dan agensi boleh bekerjasama.
"Jika tidak, mungkin isu politik akan menyelubungi usaha ke arah menjalin kerjasama.
"Tetapi solusi lebih mendalam yang membawa kepada kerangka dasar menyeluruh diperlukan. Tidak boleh berhenti di sini. Kerangka dasar akan membanteras isu ini dalam jangka panjang dan pendek," katanya dalam program Pantau Agenda Reformasi, pada Jumaat.
Jelasnya, malnutrisi dan bantut mencerminkan isu makro dan simptom kepada masalah lebih besar, iaitu sosioekonomi.
"Kementerian Kesihatan ada memberi nasihat pengambilan nutrisi dan ia memang penting tetapi ia tidak menyentuh penyebab utama malnutrisi berlaku.
"Dari kajian yang dibuat, bukan ibu bapa tidak pandai pilih makanan tetapi isunya adakah mereka mampu? Kita menyalahkan orang miskin, tetapi mereka tidak ada pilihan, terpaksa memilih makanan yang tak sesuai.
"Pilihan mereka ini dikongkong oleh faktor luar kawalan, contohnya isu kos sara hidup tinggi dan harga makanan mahal," ujarnya.
Tambahnya lagi, menyelesaikan masalah memerlukan kerangka dasar holistik yang menyentuh faktor makro secara langsung.
"Pendapat saya, kita boleh perluas program pemberian makanan, bukan fokus pelajar miskin sahaja tetapi beri bantuan kepada semua pelajar tanpa kira pendapatan ibu bapa.
"Bantuan tunai sejagat (universal cash assistant) juga boleh dilaksanakan kerana kita sudah ada infrastruktur, contohnya pangkalan data dan cara pembayaran, jadi tiada masalah untuk melancarkannya," katanya lagi.
Pantau Agenda Reformasi | Kanak-kanak malnutrisi: Solusi rentas kementerian
#bantut #Kanak-kanak #Kementerian Kesihatan #malnutrisi
;