Bantulah OKU sukar bekerja, belajar dalam talian - Ras Adiba

Rahimah Abdullah
November 11, 2020 15:10 MYT
Ras Adiba yang juga Presiden Orang Kelainan Upaya (OKU) Sentral berkata, OKU buta adalah antara golongan yang perlu dibantu memandangkan mereka paling sukar untuk menjaga penjarakan sosial atas kekangan penglihatan. - Instagram/@rasadibaradzi
KUALA LUMPUR: Senator Dewan Negara, Ras Adiba Radzi mencadangkan agar kerajaan membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan dan pembelajaran dalam talian.
Selain masih ada kemudahan yang tidak mesra OKU, mereka juga tidak berdaya untuk mendapatkan peralatan tertentu untuk memudahkan pergerakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ras Adiba yang juga Presiden Orang Kelainan Upaya (OKU) Sentral berkata, OKU buta adalah antara golongan yang perlu dibantu memandangkan mereka paling sukar untuk menjaga penjarakan fizikal atas kekangan penglihatan.
Bagi OKU pekak pula, kebanyakan mereka berdepan masalah untuk melakukan pembelajaran dalam talian kerana masalah tiada bahasa isyarat.
"Sahabat saya yang buta, mereka susah nak keluar sebab mereka tidak boleh lakukan penjarakan fizikal. Mereka tidak tahu satu meter, dua meter penjarakan, kadangkala tidak ada orang yang membantu mereka.
"Sahabat saya yang pekak pula mengalami masalah pembelajaran secara dalam talian. Ia sukar sebab ia tidak mesra untuk mereka. Untuk yang pekak, mereka tidak ada bahasa isyarat, untuk yang buta mereka tidak mempunyai aplikasinya. Bukan semua dari kami mempunyai alatan diperlukan. Apabila ingin belajar kami perlu pergi menumpang ke mana-mana. Jadi ia amat sukarkan mereka," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Rabu.
Selain itu, menurutnya, ada juga aduan diterima melibatkan OKU terlantar yang menghadapi kesukaran apabila pembantu mereka tidak dapat memberi bantuan kerana tidak dapat merentas daerah atau negeri.
Malah, lebih menyedihkan, ada dalangan kalangan OKU ini yang terputus bekalan makanan.
Pada masa sama, beliau berharap kerajaan dapat menaikkan tahap kelayakan mendapat elaun pekerja cacat daripada pendapatan RM1,200 kepada RM2,000 berikutan peningkatan kos sara hidup masa kini.
#Dewan Negara #PKPB #perintah kawalan pergerakan bersyarat #perintah kawalan pergerakan #Astro Awani #Astro #presiden #OKU #Ras Adiba #bantuan OKU #Belanjawan 2021
;