"Bantuan wang kali ini cepat," kata mangsa banjir

Bernama
Januari 1, 2022 21:33 MYT
Sebahagian 5, 000 barangan keperluan dibawa menggunakan lori kontena, lori dan trak pacuan empat roda untuk diedarkan kepada mangsa banjir pada Misi Bantuan #KeluargaMalaysia kepada mangsa banjir di Lanchang, Temerloh hari ini. - Foto BERNAMA
TEMERLOH: Tijah Jantan, 60, sudah lali dilanda banjir kerana rumahnya di Kampung Sementih di sini terletak di kawasan rendah dan berhampiran paya, cuma kali ini dia tidak menyangka wang bantuan bencana diterima begitu cepat berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Warga emas itu berkata dia juga hampir tidak percaya namanya 'naik' untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) banjir sebanyak RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM500 sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kerana tidak ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebaliknya menumpang di rumah saudara.
"Senang kali ini berbanding dulu, kena tunggu beberapa bulan baru dapat (bantuan banjir)," katanya kepada Bernama di Program Misi Bantuan Banjir Keluarga Malaysia di Dewan MPT Dataran Datuk Bahaman, Lanchang hari ini.
Tijah antara 600 ketua isi rumah dari daerah Temerloh menerima BWI yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Warga emas itu berkata selain BWI, dia bersyukur kerana turut menerima bantuan seperti toto, selimut, barangan makanan asas dan periuk nasi elektrik, termasuk daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan.
Seorang suri rumah Norliza Baharin, 48, juga dari Kampung Sementih, pula berkata BWI yang diterima akan digunakan bagi membaiki kerosakan pada rumahnya seperti menukar pintu, siling dan pendawaian elektrik.
"Saya baru pulang ke rumah semalam. Walaupun sudah selesai dibersihkan, rumah masih tak selamat diduduki kerana pintu tidak boleh ditutup dengan sempurna. Saya hanya mampu tidur-tidur ayam kerana bimbang dengan keselamatan keluarga. Alhamdulillah, rupa-rupanya ada rezeki tak disangka, bolehlah saya guna untuk beli pintu baharu," katanya.
Bagi K.Gunasundari, 36, bantuan itu memecahkan kebuntuan keluarganya yang sebelum ini tidak tahu bagaimana hendak mengemas rumah dipenuhi lumpur kerana ini kali pertama kediaman mereka di Taman Setia Lanchang dilanda banjir.
"Selama ini, kami hanya melihat jiran yang tinggal di kawasan rendah dilanda banjir kerana rumah kami agak tinggi. Ini juga pengalaman pertama kami bermalam di PPS di Sekolah Kebangsaan Lanchang selama empat hari.
"Bila dibenarkan pulang, ingatkan semua urusan di PPS sudah selesai tetapi ada orang telefon semalam beritahu supaya datang ke sini untuk menerima bantuan kerana nama saya tersenarai dalam borang kemasukan PPS," katanya.
A. Letchumi, 54, pula berkata BWI itu akan digunakan bagi membeli barangan elektrik menggantikan peralatan yang rosak kerana dia hanya sempat memindahkan dokumen penting dan barangan ringan ke tingkat atas rumahnya.
"Banyak yang tidak boleh diselamatkan tapi kena ambil masa untuk betul-betul tahu apa yang perlu diganti. Selain BWI, saya juga harap dapat bantuan RM500 yang diberikan khusus untuk beli peralatan elektrik supaya wang simpanan dapat digunakan untuk perkara lain," katanya.
-- BERNAMA
#banjir #Bantuan Banjir Keluarga Malaysia #Kampung Sementih #temerloh #banjir pahang #PPS
;